Home Nasional Penduduk PPR Tehel lega kediaman jadi hak milik

Penduduk PPR Tehel lega kediaman jadi hak milik

Calon Barisan Nasional N.24 Bemban, Datuk Koh Chin Han. Foto MOHD ADZLAN, 15 NOVEMBER 2021.

JASIN – Kira-kira 2,000 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Bemban di sini kini menarik nafas lega apabila kediaman mereka yang didiami sejak April 2017 akan menjadi hak milik mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) N24 Bemban, Datuk Koh Chin Han berkata, ia susulan pelaksanaan konsep Rent-To-Own (RTO) yang dibatalkan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan diteruskan serta-merta.

“Waktu PH ambil alih, mereka telah batalkan RTO ini, selepas 28 Oktober, ketua menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah membuat keputusan supaya kita letakkan semula pemilikan PPR Tehel ini di bawah konsep RTO semula.

“Maka penduduk di sini tak perlu bimbang lah, mereka akan RTO dan pada akhirnya selesai tempoh pembayaran, maka mereka boleh memiliki unit PPR yang telah disewa itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, laporan MalaysiaGazette mendedahkan sebanyak 500 keluarga di PPR Tehel, Bemban di sini buntu memikirkan nasib mereka yang mungkin terpaksa menyewa rumah didiami sehingga ke akhir hayat.

Dakwa penduduk, semuanya gara-gara tidak mengetahui status perjanjian sewaan rumah dibangunkan Lembaga Perumahan Melaka yang mula didiami pada April 2017 itu, sama ada ianya berkonsepkan sewa beli atau pun ‘sewa sampai mati’.

PPR Tehel siap dibina pada 2017 sewaktu pentadbiran BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu adalah Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, Chin Han juga berkata, setiap kediaman PPR Tehel itu dengan kira-kira RM180,000 ketika pembinaan kini boleh dinikmati pada harga RM40,000 melalui skim RTO

“Penduduk yang juga pemilik kediaman di PPR Tehel ini memang dapat memiliki rumah dengan tiga bilik pada harga yang begitu murah sekali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

500 keluarga buntu status rumah sewa beli atau sewa sampai mati?