LONDON – Serbia berjaya mengesahkan slot ke Piala Dunia Qatar 2022 kali ini dengan mengejutkan tuan rumah Portugal dalam aksi kelayakan malam tadi.
Dalam aksi penuh dramatik itu, Serbia menamatkan saingan kelayakannya sebagai juara kumpulan A dengan 20 mata selepas menundukkan Portugal yang diketuai kapten pasukan Cristiano Ronaldo yang mengumpul 17 mata setakat ini.
Ia mengakibatkan impian Portugal menempah slot ke Qatar lebih awal tidak kesampaian.
Selaku tuan rumah, Portugal memulakan aksi dengan cemerlang selepas mengejutkan pelawat dengan gol seawal minit ke-2 menerusi Renato Sanches.
Bernardo Silva melakukan hantaran cantik untuk membantu Sanches menjaringkan gol untuk Portugal.
Bagaimanapun, keselesaan itu tidak kekal lama apabila pemain kelab Southampton, Dusan Tadic bangkit mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-33 sebelum perlawanan terikat seri 1-1 di separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan berbalas serangan di gawang lawan untuk memburu gol kemenangan.
Namun tanpa dijangka, Mitrovic yang masuk sebagai pemain gantian untuk Serbia mengejutkan tuan rumah dengan gol kemenangan pada minit ke-90.
Justeru, kekalahan mengejut Portugal di halaman sendiri dalam pemburuan slot ke Qatar memaksa pasukan itu menunggu sehingga aksi Play Off pada Mac untuk memburu slot ke temasya kali ini.
Pada Mac 2022 nanti Portugal perlu menghadapi dua perlawanan Play Off untuk mengesahkan slot ke final Qatar kali ini.
Kekalahan kepada Serbia itu juga mengakhiri rekod tanpa kalah Portugal di gelanggang sendiri dalam aksi kelayakan piala dunia.-BBC Sport.com