KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan pelbagai kritikan mengenai penubuhan Pertubuhan Amal Transformasi Malaysia (Arima) namun pihaknya tetap komited dalam objektifnya membantu masyarakat khasnya komuniti India di negara ini.
Ini kerana Arima yang rata-rata ahlinya bekas pemimpin politik juga bekas pimpinan tertinggi MIC yang pernah memegang jawatan dalam kerajaan menyebabkan kehadirannya menimbulkan kontroversi.
Namun itu tidak pernah langsung mematahkan semangat pengasasnya, Oms Thiagarajan untuk terus berbakti kepada masyarakat terutamanya ketika fasa pandemik Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Menurut Oms, walaupun dikritik namun semakin ramai termasuk golongan profesional kini bersama Arima.
Antaranya, SP Care Group yang memiliki 13 buah rangkaian klinik di Selangor selain di luar negara di mana pengasasnya seorang anak posmen dari Rawang, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.
Arima dan SP Care sejak enam bulan kebelakangan ini aktif bersama-sama membantu masyarakat tidak kira latar belakang yang terjejas Covid-19 terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman.
Antara yang dihulurkan oleh kedua-dua, Arima dan SP Care ialah service to mankind seperti bekalan makanan asas, bantuan perubatan rumah ke rumah, kempen derma darah, organ serta apa sahaja yang berkaitan dengan pendidikan dengan menghulurkan keperluan kepada para pelajar juga sekolah terjejas.
Inisiatif kedua-dua pihak itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melakukan kemunculan pada program mereka baru-baru ini.
Menurut Oms, beliau langsung tidak berminat bermain politik mahu pun melayan mana-mana pihak yang mengkritiknya.
Sebaliknya pada masa ini fokusnya hanya masyarakat setempat terutamanya komuniti India.
“Lagi ramai tampil bantu lagi baik, seperti kerjasama kami dengan SP Care ini yang juga sedang melakukan kebajikan luar biasa di seluruh Hulu Selangor wajar dipuji. Saya tidak kisah apa kata pengkritik.
“Ramai memerlukan bantuan, sumbangan dan juga telinga, mata untuk mendengar isu rakyat kita. Jika kita mampu mengapa tidak bantu, lagi ramai yang tampil lagi baik bukan?
“Kerana itu jika anda lihat rata-rata yang ada dalam Arima adalah bekas pemimpin politik yang satu ketika dulu begitu dekat dengan masyarakat, juga bekas pemimpin NGO atau dalam agensi kerajaan. Itulah juga moto kita, sedia beramal tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” ujarnya.
Untuk makluman, Arima ketika ini mempunyai lebih 16,000 ahli berdaftar seluruh negara dan ribuan lagi menunggu pendaftaran mereka pada masa ini namun Perintah Kawalan Pergerakan membantutkan usaha itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: