Home Ekonomi FGV lantik Elevate

FGV lantik Elevate

FGV

 

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) telah melantik Elevate sebagai firma audit bebas untuk melakukan penilaian operasi FGV terhadap 11 Petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan buruh paksa setelah mengkaji semula cadangan daripada beberapa organisasi.

Penilaian tersebut adalah sebahagian daripada usaha FGV untuk mempetisyen pembatalan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat pada 30 September 2020 terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit yang dihasilkan oleh FGV dan anak syarikatnya, serta syarikat usaha sama.

Artikel berkaitan: Buruh paksa: Pelantikan formal audit bebas bulan depan – FGV

FGV berkata, Elevate ialah sebuah pembekal perkhidmatan kelestarian dan rantaian bekalan bebas yang berpengalaman luas dalam memacu kepatuhan sosial dan menangani risiko buruh paksa dengan menerapkan pendekatan berpandukan pekerja.

”Kami telah pun berbincang dengan penasihat undang-undang kami di Amerika Syarikat dan Elevate berkenaan pelan dan reka bentuk audit yang dijangka bermula pada bulan November 2021.

”FGV akan membuat pengumuman lebih lanjut sekiranya terdapat perkembangan penting mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette