
KUALA LUMPUR – Kebanyakan indikator utama berkaitan Covid-19 seperti purata kes aktif, kes kematian dan kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan tren penurunan.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt mencatatkan peningkatan sejak 6 November lalu yang mana kes baharu Covid-19 turut meningkat.
Ia meningkat sebanyak 11 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada 7 sehingga 13 November lalu, naik daripada 35,303 kes (Minggu Epidemiologi (ME) ke-44) kepada 39,181 kes (ME ke-45).
“Situasi ini kekal membimbangkan KKM (Kementerian Kesihatan) kerana peningkatan kes baharu dan nilai Rt daripada minggu sebelumnya menggambarkan potensi penularan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat dan seterusnya risiko pendedahan yang lebih tinggi untuk dijangkiti oleh virus tersebut.
“Sebagai makluman, peningkatan nilai Rt berkadar terus dengan peningkatan kes baharu Covid-19 terutamanya jika langkah-langkah pencegahan tidak diamalkan sepenuhnya oleh semua pihak.
“Oleh yang demikian, masyarakat diseru agar tidak alpa dan mengambil tindakan aktif dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan demi memastikan jangkitan dapat dikurangkan segera di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 5.0 peratus iaitu daripada 65,573 kes (ME ke-44) kepada 62,224 kes (ME ke-45) yang mana ia dilihat konsisten sejak 10 minggu lalu.
Tambah beliau, kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak 1.3 peratus iaitu daripada 380 kes (ME ke-44) kepada 375 kes (ME ke-45) sementara purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 2.0 peratus iaitu 516 kes (ME ke-44) kepada 504 kes (ME ke-45);
“Kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan penurunan sebanyak 13.2 peratus dari 214 kes (ME ke-44) ke 186 kes (ME ke-45).
“Malah Nilai Rt meningkat dari 0.96 (95 peratus CI 0.95 – 0.97) ke 1.05 (95 peratus CI 1.04 – 1.06) sejak 1 November lalu.
“Dalam perkara Rt, Putrajaya masih kekal dengan nilai kebolehjangkitan tertinggi iaitu 1.17 berbanding negeri-negeri lain namun dua negeri iaitu Perlis dan Labuan masing-masing merekodkan sifar Rt kali ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette