KUALA LUMPUR – Pemindahan pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) merupakan prosedur biasa.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak sembilan pesakit positif Covid-19 dipindahkan ke PKRC pada 9 November llau.
“Ikut pecahan pesakit merangkumi dua kes ke PKRC Maran, dua kes ke PKRC UMP (Universiti Malaysia pahang) dan lima kes ke PKRC ILKKM (Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia).
“Kesemua sembilan orang pesakit ini perlu dimasukkan ke PKRC kerana situasi rumah yang kurang sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri serta pesakit ini terdiri daripada golongan kanak-kanak dan pesakit co-morbid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular video memaparkan sebuah kereta polis mengiringi sebuah bas yang dipercayai membawa pesakit Covid-19 turun dari Cameron Highlands.
Klip tersebut dirakam oleh pengunjung yang terkandas ketika dalam perjalanan ke pusat pelancongan itu
Tambah Dr. Nor Azimim, setakat ini Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands tidak menerima sebarang notifikasi kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong untuk tujuan pengesanan kontak.
Menurutnya, notifikasi untuk tindakan pengesanan kontak yang diterima setakat ini hanya melibatkan kontak keluarga.
Jelasnya, sehingga 16 November lalu, kes aktif di daerah Cameron Highlands adalah sebanyak 77 kes melibatkan 17 kes import dan selebihnya kes tempatan.
“Status Covid-19 di daerah Cameron Highlands adalah terkawal dengan dua mukim berstatus jingga (Tanah Rata dan Ulu Telom) dan satu mukim berstatus kuning (Ringlet).
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang meminta masyarakat sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan walaupun telah lengkap dos vaksinasi serta dibolehkan untuk bersosial seperti melancong dan merentas negeri,” katanya. – MalaysiaGazette