JOHOR BAHRU – Seramai 14 individu dipercayai ahli kongsi gelap yang terlibat dalam dua insiden pergaduhan di Kulai dan Seri Alam pada tengah malam Ahad lalu berjaya ditangkap.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, punca pergaduhan dipercayai akibat salah faham dan pertengkaran berlaku ketika kesemua mereka berada di bawah pengaruh alkohol.
Penahanan semua suspek lelaki tempatan berusia 21 hingga 40 tahun itu hasil daripada maklumat awam dan risikan.
Kesemua suspek ini adalah membabitkan lima individu (Kumpulan 36), empat individu (Kumpulan 21) dan lima individu (Kumpulan 04) yang kita tahan ketika insiden pergaduhan, katanya.
“Kesemua mereka kini ditahan reman sehingga 17 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Penahanan kesemua suspek itu penambahan kepada 16 individu disyaki ahli kongsi gelap yang ditahan menerusi Op Cahaya yang berlansung pada 28 Oktober hingga 10 November lalu.
Suspek yang ditahan termasuk remaja berusia 17 hingga 60 tahun.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan telah ditahan reman antara dua hingga empat hari untuk membantu siasatan.
“Sepanjang Op Cahaya dilakukan ini, sebanyak 66 kes kekerasan dicatatkan di seluruh Johor yang mana sebanyak 30 tangkapan telah berjaya dilakukan dengan daripadanya adalah ahli kongsi gelap.
“Mereka ini kita kesan sebagai ahli kumpulan berdasarkan terdapat kesan tatoo dan lambang pada tubuh badan mereka,” katanya.
Sejak Januari lalu, Polis Johor telah mengambil tindakan ke atas tujuh kumpulan kongsi gelap yang membabitkan tangkapan seramai 70 individu di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Pecahan geng kongsi gelap ini adalah melibatkan Geng 21 (29 orang), Geng 36 (16), Geng 04 (9), Geng 08 (8), Hong Hong San (2), Ang Kong Kia (seorang) dan Ngo Sek Kee (5).
“Daripada jumlah ini, seramai 20 individu telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang melibatkan Geng 21 (13 orang) dan Geng 36 (7 orang),” katanya.-MalaysiaGazete