
KUALA LUMPUR – Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Gina Raimondo akan mengadakan lawatan ke Malaysia pada 18 November ini.
Ia merupakan lawatan peringkat menteri dari Amerika Syarikat yang julung kali ke Malaysia di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.
Semasa lawatan ini, Setiausaha Raimondo akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk bertukar pandangan serta membincangkan pemulihan ekonomi pasca pandemik dan langkah-langkah meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Kedua-dua menteri juga akan mempengerusikan secara bersama sesi meja bulat dengan wakil-wakil industri semikonduktor, yang terlibat dalam rantaian bekalan Amerika Syarikat dan mempunyai operasi di Malaysia.
Sesi ini akan turut membincangkan usaha-usaha strategik untuk meningkatkan kerjasama antara Amerika Syarikat dan Malaysia dalam memastikan rantaian bekalan semikonduktor kekal mampan.
Raimondo juga dijadualkan untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berkongsi pandangan mengenai hubungan dua hala dan isu-isu kepentingan bersama.
Malaysia dan Amerika Syarikat telah menjalinkan hubungan diplomatik yang kukuh yang telah mewujudkan pelbagai peluang perdagangan dan pelaburan dua hala.
Pada tahun 2020, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar, dengan jumlah perdagangan dua hala direkodkan bernilai RM178.2 bilion (AS$42.5 bilion), peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding tahun 2019.
Dari segi pelaburan, pada tahun 2020, Amerika Syarikat adalah pelabur asing yang kedua terbesar di Malaysia bagi projek pembuatan yang telah dilaksanakan, iaitu sebanyak 854 projek pembuatan bernilai RM88.5 bilion (AS$25.4 bilion), yang menjana 206,921 pekerjaan – MalaysiaGazette