KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang mahu terjun dari sebuah kondominium di Cyberjaya hari ini diselamatkan sepasukan anggota bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai perkara itu pada jam 3.45 petang mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba ke lokasi jam 3.52 petang di Apex Tower di Jalan Teknokrat 6, mendapati seorang wanita disyaki tempatan berusia 30-an sambil menangis berdiri di balkoni rumahnya di tingkat 37 bangunan itu dan mahu terjun ke bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, anggota bomba yang cuba memujuk wanita tersebut supaya membatalkan hasrat itu berjaya mencapai tangannya dan membawa masuk ke dalam kediaman tersebut.
“Wanita itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang sedia ada,” jelasnya.-MalaysiaGazette