Home Nasional Yayasan Peneraju Perluas Program Pembiayaan Termasuk Kursus Jangka Pendek

Yayasan Peneraju Perluas Program Pembiayaan Termasuk Kursus Jangka Pendek

Laman web Yayasan Penaraju Pendidikan Bumiputera menawarkan pelbagai maklumat mengenai peluang-peluang yang ditawarkan.  Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) yakin High Impact Programme (HIP) yang ditawarkan mampu meningkatkan kemahiran dan melatih semula bakat-bakat Bumiputera yang memerlukan terutamanya golongan yang terjejas susulan daripada pandemik COVID-19 supaya mereka akan kekal relevan, lebih adaptif dan berdaya saing pada masa akan datang.

Eksekutif Kanan, Pengurusan Program & Penyampaian Perkhidmatan, Farhana Mustafha berkata, HIP menawarkan pelbagai jenis kursus jangka pendek yang boleh memberi manfaat kepada peserta dan ketika ini, hampir 2,000 peserta telah menerima manfaat semasa atau yang sedang menjalani kursus-kursus HIP sejak program itu diperkenalkan bermula awal tahun ini.

Antara kursus yang ditawarkan adalah Finance for Non-Financial Manager di mana peserta akan mempelajari tentang kemahiran asas kewangan seperti menyediakan belanjawan dan menganalisa penyata kewangan. Peserta yang berjaya melengkapkan kursus ini akan menerima sijil daripada The Association of Accounting Technicians (AAT).

Selain itu, kursus Data Labelling for the Future AI bertujuan memperkenalkan tentang industri pelabelan data dan pengetahuan tentang AI dan juga pembelajaran mesin (machine learning).

Menerusi kursus ini, peserta berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan tenaga kerja global menerusi projek di bawah seliaan Alegion. Alegion merupakan syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat yang menyediakan platform pelabelan data.

Eksekutif Kanan, Pengurusan Program dan Penyampaian Perkhidmatan Yayasan Penaraju Pendidikan Bumiputera Nurfarhana Mustafha di Mercu UEM KL Sental, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 NOVEMBER 2021.

HIP juga menawarkan kursus Career Breakthrough Online Course, yang berdurasi selama empat (4) minggu di mana para peserta akan mengikuti modul-modul yang berkaitan dengan kemahiran teknikal, kemahiran insaniah (soft skills), kesediaan tenaga kerja (workforce readiness) dan juga kemahiran keusahawanan.

Farhana menambah, HIP turut menawarkan kursus Essential Skills and Digital Media Marketing for Unemployed Graduates dan juga Essential Skills Digital Marketing Awareness for Undergraduates yang berdurasi selama enam (6) ke tujuh (7) hari di mana peserta akan mempelajari kemahiran asas tentang pemasaran digital, konsep utama pemasaran melalui media sosial seperti Facebook, pengoptimuman enjin carian (SEO) dan banyak lagi.

Tambahnya lagi, bagi kursus Halal Industry Fundamentals, ia bertujuan melengkapkan peserta dengan pengetahuan asas tentang konsep halal dan haram, kepentingan dan justifikasinya dalam industri Halal.

Nurfarhana Mustafha. Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 NOVEMBER 2021.

Farhana memberitahu, kriteria yang ditetapkan oleh Yayasan Peneraju bagi permohonan HIP adalah Bumiputera yang berumur antara 18 hingga 45 tahun yang ingin meningkatkan kemahiran dan melatih semula diri.

Menurut beliau, antara kriteria yang ditetapkan bagi mereka yang ingin memohon kursus di bawah HIP adalah pelajar tahun akhir, tenaga kerja (working adults), tenaga kerja muda (junior workforce), siswazah menganggur, graduan baru dan juga tenaga kerja yang telah diberhentikan kerja.

Apa yang menarik, kelebihan HIP adalah kursus-kursus ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Peneraju. Pada masa sama, kursus dijalankan sepenuhnya melalui dalam talian dan merupakan program jangka pendek bagi memberi fleksibiliti kepada peserta untuk melengkapkan modul-modul yang disediakan mengikut kesesuaian masa peserta.

Kursus yang ditawarkan juga adalah berdasarkan trend dan permintaan semasa industri dan juga memberi pendedahan kepada peserta di dalam bidang-bidang yang sedang menginjak naik di Malaysia supaya mereka akan kekal relevan, lebih adaptif dan berdaya saing di dalam pekerjaan mereka.

Yayasan Penaraju Pendidikan Bumiputera di Mercu UEM KL Sental, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 NOVEMBER 2021.

Farhana berkata, Yayasan Peneraju berharap lebih ramai lagi Bumiputera yang akan menyertai kursus di bawah HIP bagi usaha meningkatkan dan melatih semula kemahiran-kemahiran yang relevan seiring dengan perubahan semasa di dalam industri.

Sementara itu, Yayasan Peneraju merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) yang merupakan satu inisiatif untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera secara sejagat dan berterusan.

Antara mandat yang diamanahkan kepada Yayasan Peneraju termasuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat-bakat Bumiputera sejajar dengan usaha menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Mohd Muzzammil Ismail 

Yayasan Peneraju memiliki misi utama iaitu menyediakan peluang pendidikan berkualiti dan memupuk serta membangun bakat Bumiputera ke tahap tertinggi.

Misi yayasan itu juga ingin mewujudkan jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi mencapai agenda Bumiputera dan menyediakan peluang pensijilan antarabangsa ke arah kerjaya berpendapatan tinggi serta mentransformasi keupayaan Bumiputera ke arah menjana pekerjaan berpendapatan tinggi.

Yayasan Peneraju ketika ini bekerjasama rapat dengan pemain industri, rakan program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan program ditawarkan berkualiti tinggi, relevan dan dapat meningkatkan kebolehpasaran penerima faedahnya.

Dalam tempoh sembilan tahun sejak penubuhannya, Yayasan Peneraju berjaya melahirkan lebih 40,000 penerima faedah menerusi lebih 350 program pembiayaan merangkumi pelbagai segmen kumpulan Bumiputera di seluruh Malaysia termasuk kumpulan B40, M40, golongan terpinggir dan luar bandar.

Ts. Mohd Muzzammil Ismail kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju.

Untuk keterangan lanjut mengenai Yayasan Peneraju, orang ramai boleh melayari http://www.yayasanpeneraju.com.my atau laman media sosial Facebook / Twitter / Instagram / LinkedIn@YayasanPeneraju. – MalaysiaGazette