PARIS – Peruncit barangan sukan Perancis, Decathlon telah menghentikan penjualan kayak dan bot kecil di empat cawangannya di utara yang berdekatan dengan perairan Channel untuk menghalang pendatang membelinya dalam percubaan mereka untuk sampai ke Britain.
Langkah itu dibuat selepas lonjakan bilangan pendatang yang melakukan perjalanan laut berbahaya dari Perancis ke Britain pada bulan ini dengan merentasi beberapa laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
Decathlon berkata, ia sedang mengalihkan semua perahu kecil dan kayak dari kedainya di Calais, Grande-Synthe, Boulogne-sur-Mer dan Le Touquet.
Pekan-pekan itu dijadikan lokasi oleh pendatang untuk ke Britain.
”Kami komited untuk tidak sekali-kali meletakkan pelanggan kami dalam risiko dengan penggunaan produk kami dalam apa jua keadaan,” kata rangkaian runcit itu dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, produk menyelamatkan nyawa seperti jaket keselamatan akan kekal tersedia di semua kedainya, kata syarikat itu.
Beratus-ratus pendatang telah mengambil kesempatan daripada keadaan laut baik pada bulan ini untuk mencuba menyeberang, selalunya dalam bot angin, selain sampan dan jet ski.
Kerajaan Britain menyuarakan rasa kecewa dengan jumlah pendatang yang tiba di pantai selatan England dan menuntut Perancis melakukan lebih banyak lagi usaha untuk menghentikan lintasan rahsia dalam bot yang kurang kelengkapan serta tidak sesuai untuk navigasi di laut terbuka.
Pengawal pantai Perancis di kawasan itu berkata, mereka telah menyelamatkan 272 orang pendatang pada malam Isnin.
Decathlon dimiliki oleh keluarga jutawan Mulliez. – Reuters