Home Politik Kerajaan tiada kuasa longgarkan SOP kempen, mengundi

Kerajaan tiada kuasa longgarkan SOP kempen, mengundi

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kanan) dan pada sidang media khas sempena Pilihan Raya Negeri Melaka di Bilik Gerakan Barisan Nasional Jalan Klebang, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 NOVEMBER 2021.

KLEBANG – Kerajaan tiada kuasa untuk menentukan sama ada untuk memberi kelonggaran atau sebaliknya mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengkaji semula SOP sedia ada.

“Itu (longgar SOP) kena tanya SPR perjalanan hari pembuangan undi berada di dalam kuasa dan tanggungjawab mereka.

“Apa kelonggaran, apa SOP, SPR akan tentukan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebaliknya Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan, sebagai ahli dan jentera parti, pihaknya perlu meyakinkan kepada pengundi-pengundi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 20 Novwmber ini.

“Sebagai jentera parti, kita kena memastikan perjalanan mereka (SOP) itu mempunyai kesan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang telah turun padang di Melaka beberapa kali sebelum ini berkata, sudah pasti bekas Naib Presiden UMNO itu akan membantu memenangkan calon BN.

“Saya sebagai Menteri Pertahanan dan harapan saya bahawa semua akan keluar mengundi dan sokong kerajaan.

“Kalau tanya saya sebagai ahli BN sudah tentu jawapan saya patut sokong calon BN,” katanya.

Menyentuh mengenai pretasi BN di Melaka, Hishammuddin mengakui parti berusia 61 tahun itu dilihat mampu menyesuaikan dengan SOP yang ketat sepanjang tempoh berkempen.

“Suasana PRN Melaka berbeza berbanding dengan pilihan raya lain, di mana kita sudah biasa lakukan (kempen fizikal) sebelum ini.

“Ini satu kelebihan parti kita selama ini, letak lah dalam apa juga keadaan, kita tetap berjuang dan laksanakan apa yang diperlukan untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette