Home Politik Kit Siang mahu pengundi boikot Pas, PN, BN

Kit Siang mahu pengundi boikot Pas, PN, BN

Lim kit siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Tular satu kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yang mahu para pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memboikot Pas, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata demikian susulan kerajaan Kedah yang memutuskan untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian dan menghadkan penjualan arak.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri itu merupakan pencabulan kepada Rukun Negara.

“Memandangkan Pas telah mengharamkan aktiviti perjudian di Kedah dan membangkitkan isu mengenai arak, mereka mencabuli prinsip pembinaan negara bangsa Rukun Negara.

“Marilah pengundi di Melaka menolak secara bulat-bulat calon PAS, PN, dan BN,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Tambah Kit Siang, cubaan untuk mengawal moral dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya adalah satu perbuatan yang salah, bersifat ekstremis dan tidak bertoleransi.

Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi di Melaka menghukum Pas, PN dan BN dalam PRN pada 20 November ini.

“Saya seru pengundi di Melaka untuk memberikan pengajaran kepada calon Pas, PN dan BN dalam PRN Melaka pada 20 November ini, kerana rakyat Melaka dan rakyat Malaysia dapat membayangkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara sekiranya kelima-lima prinsip pembinaan negara bangsa ini ditolak,” katanya lagi.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November ini – MalaysiaGazette