KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menghentikan sementara operasi tren antara Stesen Johor Bahru Sentral (JBS) dan Kempas Baru bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – JB Sentral di antara dua stesen ini.
Kerja-kerja ini bermula pada 23 November dan dijangka siap pada bulan Mei 2022.
Ekoran itu, penumpang yang membuat perjalanan menggunakan perkhidmatan Ekspres Selatan dan Ekspres Rakyat Timuran perlu ke Stesen Kempas Baru kerana perkhidmatan tren akan tamat dan mula di stesen tersebut.
Penumpang yang telah membeli tiket dari/ke JBS serta tidak berhasrat untuk meneruskan perjalanan, pemulangan tambang penuh akan dikreditkan ke dalam KTM Walleet melalui aplikasi KTMB Mobila (KITS).
KTMB juga akan bekerjasama dengan syarikat e-hailing bagi memastikan ketersediaan pengangkutan alternatif di stesen yang terlibat, menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette