KUALA LUMPUR – Situasi terkini peningkatan kadar kebolehjangkitan Covid-19 sehingga kini tidak memberi kesan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan kadar kebolehjangkitan kembali meningkat namun jangkitan dalam kategori yang serius tidak menunjukkan pertambahan yang banyak.
Tambah beliau, PPN tidak terjejas oleh perubahan situasi jangkitan semasa pandemik berkenaan kerana kebanyakan sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi semula.
“Buat masa sekarang ya, memang ada petunjuk peningkatan R Naught menunjukkan peningkatan kes tapi kalau dilihat pecahannya peningkatan kes dalam kalangan Kategori 1,2 yang kategori serius peningkatannya tidak terlalu besar.
“Setakat sekarang ini, saya lihat belum ada petanda ia (peningkatan kes) membawa kesan kepada PPN kerana industri dan sektor ekonomi semua sudah dibuka kita tidak lagi menyekat untuk buka 24 jam pun boleh. Belum lagi nampak kesan besar tetapi proses pembukaan ekonomi sudah bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menghadiri program Pertemuan Bersama British Malaysia Chamber of Commerce (Roundtable Meeting) dan Dialog Pemulihan Negara, hari ini.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, kebanyakan sektor yang telah beroperasi kini berhadapan dengan masalah untuk meneruskan operasi kerana kekangan kewangan.
“Cumanya masalahnya walaupun sudah dibenarkan untuk dibuka tetapi industri yang sudah terkesan teruk waktu pandemik ini nak mula balik sukar memerlukan banyak sokongan, bantuan dari segi kewangan, modal, proses bantuan morotatorium,” tambahnya.
MPN katanya lagi sentiasa mengambil berat masalah yang dihadapi oleh pelbagai sektor pada masa ini.
“Dalam mesyuarat yang saya pengerusikan minggu lalu pun kita ambil kira banyak pandangan. Ini suatu perkara yang bukan mudah,” ujarnya.
Untuk rekod, lima hari lalu kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) bagi seluruh negara kembali mencecah 1.00 selepas tiga bulan.
Sebanyak enam buah negeri termasuk seluruh kawasan Lembah Klang turut merekodkan Rt di atas 1.00.- MalaysiaGazette