Home Dunia Seorang maut akibat banjir lumpur di Kanada

Seorang maut akibat banjir lumpur di Kanada

Orang ramai, termasuk kanak-kanak yang terkandas akibat banjir diselamatkan oleh sukarelawan dengan menaiki bot di Abbotsford, British Columbia - Foto The Canadian Press

VANCOUVER – Mayat seorang wanita ditemui di lokasi tanah runtuh akibat hujan lebat yang menyebabkan banjir lumpur di pantai Pasifik wilayah British Columbia, Kanada semalam.

Polis berkata, anggota mencari dan menyelamat terus mencari mangsa lain.

Memetik laporan ABC News, Pengurus Mencari dan Menyelamat Daerah Pemberton, David MacKenzie berkata, pasukannya menjumpai tujuh kenderaan di tapak tanah runtuh di Lebuhraya 99 berhampiran bandar Lillooet dan polis sedang berusaha untuk menentukan sama ada terdapat mangsa lain.

Sejumlah besar serpihan menyukarkan pencarian kerana lumpurnya setinggi pinggang, katanya.

Kakitangan Polis Diraja Kanada, Sarjan Janelle Shoihet pula berkata jumlah orang dan kenderaan yang tidak dapat dikesan masih belum dapat disahkan.

Beliau berkata, penyiasat telah menerima laporan mengenai dua orang lagi yang hilang dan pemandu lain mungkin tertimbus di dalam gelongsoran lumpur.

Kira-kira 300 orang terpaksa duduk di dalam kenderaan mereka pada hari Ahad dan telah diselamatkan dengan helikopter pada Isnin lalu.

Sementara itu Datuk Bandar Abbotsford, Henry Braun berkata, lebuh raya yang tidak boleh dilalui menimbulkan kekacauan di bandarnya ketika polis dan bomba cuba membawa orang ramai ke pusat pemindahan.

Beberapa jalan raya telah ditutup kerana banjir dan tanah runtuh, termasuk bahagian Lebuhraya 1A, Lebuhraya 3, Lebuhraya 5, Lebuhraya 11, Lebuhraya 12 dan Lebuhraya 91.

Menteri Keselamatan Awam British Columbia, Mike Farnworth pula menegaskan, menteri Kabinet wilayah itu akan bermesyuarat hari ini untuk mempertimbangkan bagi mengisytiharkan darurat di seluruh wilayah.

Beliau berkata, bekalan seperti makanan, katil bayi dan selimut telah dihantar ke bandar Hope bagi membantu hampir 1,100 orang yang terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau juga prihatin dengan apa yang berlaku dan dihadapi ratusan keluarga dan beribu-ribu orang terjejas di seluruh wilayah oleh peristiwa cuaca ekstrem.-ABC News