Home Politik Sulaiman rayu pengundi Cina sokong calon MCA

Sulaiman rayu pengundi Cina sokong calon MCA

Calon Barisan Nasional N.04 Lendu yang merupakan calon ketua menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, turut sama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Keroh, Melaka. Foto FAREEZ FADZIl, 17 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Datuk Seri Sulaiman Md Ali merayu masyarakat Cina supaya memberikan sokongan dengan mengundi calon MCA yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, suara kepelbagaian bangsa dan kaum diperlukan dalam setiap struktur pentadbiran kerajaan bagi membentuk sebuah negeri yang stabil.

“Kita sudah ada rekod yang baik sejak 60 tahun dan selama ini BN merupakan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil kerana di dalamnya terangkum pelbagai kaum.

“Saya melihat calon diketengahkan MCA kebanyakannya merupakan muka baharu, tetapi saya yakin walaupun baharu mereka sudah lama berkhidmat dan bertugas seperti biasa dan sememangnya disenangi rakyat terutamanya masyarakat Tiong Hua di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan calon-calon MCA yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong di sini, hari ini.

Menurut Sulaiman lagi, sekiranya ditakdirkan BN berjaya memperoleh mandat rakyat dan membentuk kerajaan negeri pada PRN kali ini, menjadi satu kerugian sekiranya tiada wakil MCA dalam struktur kerajaan kerana tidak boleh membawa suara masyarakat itu secara terus.

“Kalau kita dapat bentuk kerajaan nanti, saya fikir masyarakat kaum Tiong Hua mesti ada wakil di dalam kerajaan yang bakal dibentuk.

“Kita mahukan suara daripada kaum Tiong Hua melalui MCA, maka memudahkan lagi kerajaan untuk menjalankan pentadbiran dan pengurusan.

“Jadi, saya mohon sekali lagi kepada pengundi terutamanya kaum Tiong Hua dapat memberi undi kepada calon MCA yang telah pun diketengahkan kerana saya percaya mereka boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Pada PRN Melaka yang dijadual berlangsung Sabtu ini, BN mempertaruhkan calonnya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan tujuh daripadanya merupakan calon MCA.

Calon-calon itu akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir, Klebang, Bemban, Kota Laksamana dan Machap Jaya sementara MIC dipertaruhkan di DUN Gadek.

Rakyat Melaka akan mengundi pada 20 November ini. – MalaysiaGazette