KUALA LUMPUR – Krisis kemanusian ditambah pula dalam keadaan pandemik Covid-19 yang belum reda akan semakin teruk jika tidak dapat ditangani dengan baik.
Contohnya, isu tahanan tidak bernegara seramai lebih 6,000 di Sabah ketika ini sebenarnya boleh mencetuskan krisis kesihatan serta kemanusiaan.
Itu luahan Setiausaha Agung Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishammuddin Hashim yang mahu kerajaan lebih agresif dalam menangani keadaan semasa melanda golongan berkenaan.
Jelas beliau, para tahanan yang berada Menggatal, Sandakan, Kimanis dan Tawau didakwa berada dalam suasana premis yang tidak kondusif dan turut dibimbangi boleh mencetuskan kembali gelombang jangkitan wabak Covid-19.
“MHO sudah lama kesan isu-isu ini malah ada waris yang mendedahkan ada tahanan sudah ditahan lebih dua tahun kerana masalah pengenalan, dokumen tidak sah dan sebagainya.
“Jika tidak boleh usir mereka terus mengapa tangkap dan tahan mereka seperti ini, kerajaan perlu cari jalan, penyelesaian terhadap masalah ini. Mengapa empat depot tahanan ini menahan mereka untuk tempoh sekian lama?
“Ini bukan sahaja akan cetuskan isu kesihatan seperti penularan Covid-19 atau penyakit lain yang perlu kita tangani sebaliknya juga membawa kepada persoalan krisis kemanusian juga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dalam memperjuangkan hak asasi tahanan hari ini.
Hishamuddin turut melahirkan kebimbangan peningkatan kos menanggung para tahanan yang juga memerlukan bantuan makanan, pemberian lampin pakai buang, bahan kebersihan diri, ubat-ubatan untuk kudis, tuala wanita dan susu formula.
Jelas beliau, semua keperluan itu hak asasi dan perlu diberikan kepada yang ditahan ini selama mungkin mereka menjadi tahanan.
Dalam pada itu, Hishamuddin juga amat berharap Wisma Putra bekerjasama dengan Kerajaan Filipina untuk mempercepatkan dokumentasi bagi membolehkan tahanan yang dipercayai daripada negara tersebut segera dihantar pulang.
“MHO sendiri sudah banyak kali memohon, menghantar memorandum selain cuba mengadakan rundingan juga menghulurkan tangan sama-sama membantu kerajaan. Ahli kita semuanya turun padang seboleh mungkin membantu sehinggalah saat ini.
“Apa yang kami ungkapkan ini bukanlah retorik walaupun ada juga pihak yang mengkritik usaha kami. Ingatlah setiap manusia berhak dan janganlah kita nafikan hak asasi sebagai manusia ini lagi-lagi golongan tidak bernegara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia berada dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024 dan ia perlu dimanfatkan sebaik mungkin.
Jelas beliau peranan dan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah kemanusiaan di negara sendiri terlebih dahulu sebelum melihat masalah hak asasi di negara luar.
“MAPIM dan MHO menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perintis yang membawa isu tersebut untuk diketengahkan dan kami mengalu-alukan NGO lain menyertai bagi memperjuangkan hak asasi tahanan di kesemua depot tahanan tersebut.
“Atas semangat Keluarga Malaysia saya berharap kesemua tahanan tersebut dihantar balik dan mereka diberi dokumen agar mereka mencari kerja yang sesuai untuk mencari nafkah dan menjalani kehidupan bermaruah,” tegasnya. -MalaysiaGazette