Home Politik Calon Ketua Menteri penghargaan buat wanita seluruh negara – Mas Ermieyati

Calon Ketua Menteri penghargaan buat wanita seluruh negara – Mas Ermieyati

Datuk Mas Ermieyati Samsudin bergambar selepas diumumkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Ibu Pejabat PN, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Calon Ketua Menteri bagi Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsusin menyifatkan pencalonan beliau untuk jawatan penting itu sebagai penghargaan tertinggi buat seluruh wanita di negara ini.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih sebab ini adalah satu penghargaan yang sangat besar bukan untuk saya tapi wanita seluruh negara.

“Jadi saya merasakan bahawa ini masanya untuk kita sama-sama berganding bahu membuktikan bahawa wanita juga tidak ada mustahil dalam apa juga perkara,” katanya dalam sidang media pengumuman calon Ketua Menteri Melaka bagi Perikatan Nasional di ibu negara.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu pejabat gabungan itu di Dutamas, hari ini.

Mas Ermieyati yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata, beliau memang mempunyai perancangan untuk Melaka selepas PRNĀ  namun fokus utama adalah untuk memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara.

“Semestinya saya ada pelan untuk wanita sebab saya duduk di sebelah Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

“Saya rasa setakat ini bagus, semestinya tidak mudah bagi saya untuk PN tapi kempen saya berjalan dengan baik dan lancar, sebab itu saya harap pengundi-pengundi dapat berikan saya peluang dan ruang dan kepercayaan dan memilih saya sebagai wakil di Tanjung Bidara nanti.

“Terlalu awal untuk saya nyatakan, bagi saya menang dulu PRN kali ini,” katanya lagi.

Ditanya mengapa PN membuat pengumuman agak lewat untuk calon kerusi itu, Mas Ermieyati berkata, ia boleh disifatkan sebagai strategi bagi menarik pengundi wanita.

“Saya tidak rasa begitu, ini adalah sebahagian daripada strategi dan saya percaya ada sebab pengumuman ini dibuat lewat, dua hari sebelum,” jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette