Home Politik Cukup-cukuplah wakil rakyat lama buat perangai – Dira

Cukup-cukuplah wakil rakyat lama buat perangai – Dira

Calon Barisan Nasional N.25 Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar bergambar bersama masyarakat setempat pada Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) di Markisa Cafe Chin-Chin, Jasin Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 NOVEMBER 2021.

JASIN – Cukup-cukuplah wakil-wakil rakyat lama buat perangai dengan bertindak melompat parti sehingga kerajaan dibubarkan dan semua pihak terbeban untuk melaksanakan pilihan raya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N025 Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, sudah sampai masanya semua pihak menyokong Akta Anti Lompat apabila ia dibentang di Dewan Rakyat kelak.

“Kita tak nak lagi dah (bubar kerajaan) malah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini berlaku pun disebabkan belum adanya akta yang mampu menghalang wakil-wakil rakyat lama buat perangai macam inilah.

“Sebab itu kita kena hadap PRN Melaka ini,” katanya pada sidang media di Cafe Markisa di sini hari ini.

Semalam, seorang ahli Parlimen menyeru semua wakil rakyat untuk menyokong usul berhubung Akta Anti Lompat parti yang dicadangkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said apabila ia dibentang di Dewan Rakyat.

Ketika sesi perbahasan Bajet 2022 pada persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, usul berkenaan sewajarnya diterima bagi memastikan kestabilan politik serta kerajaan dan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Dalam pada itu, Khaidhirah mengakui beliau tidak bersetuju dengan tindakan empat wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang menarik balik sokongan daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Ia (Akta Lompat Parti) wajar dilakukan dan perlu perhatian lebih baik dan cepat-cepat laksanakannya. Mungkin ada orang tak suka, saya terus terang memang tak suka.

“Perkara yang paling merisaukan saya ialah ia akan memudaratkan rakyat, kedudukan rakyat, kesejahteraan negara, keamanannya terganggu dan proses untuk membantu rakyat itu terencat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau dan semua calon BN yang bertanding dalam PRN Melaka sendiri terpaksa menandatangani perjanjian dengan partinya memandangkan akta terbabit masih tidak diwujudkan lagi.

“Kami yang menjadi calon ketika ini diminta untuk menandatangani sebuah kontrak perjanjian dengan parti kami sendiri.

“Ianya bertujuan untuk mengelakkan perkara-perkara yang telah berlaku dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Ini kerana saya sendiri pun tidak bersetuju dengan tindakan-tindakan keluar parti, beralih pihak (parti) dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette