AYER KEROH – Pengundi-pengundi Melaka diingatkan agar jangan sesekali memangkah calon berdasarkan penampilan mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini.
sebaliknya, Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengundi-pengundi perlu menilai calon-calon yang bertanding berdasarkan khidmat yang mereka untuk membela nasib rakyat.
“Saya nasihatkan orang Melaka ni jangan macam tu, suka pada calon tu, suka pada calon ni, calon bebas… calon bebas nak buat apa…dia boleh buat apa.
“Calon parti kecil-kecil nak buat apa…pilih satu parti teras kalau nak betul-betullah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Diskusi Perdana BN bertajuk “Kestabilan Demi Kemakmuran” yang turut disertai calon Ketua Menteri Melaka BN, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, secara langsung di Facebook, sebentar tadi.
Mohamad menegaskan, jika rakyat Melaka mahukan kesejahteraan dan kemajuan seperti yang dinikmati sejak berpuluh tahun dahulu, pengundi perlu berdepan dengan realiti.
Katanya, kemajuan yang dinikmati negeri Melaka tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 sehingga penarik beca hidup sengsara.
Lantaran itu, Mohamad mengharapkan pengundi-pengundi memberi kepercayaan kepada parti yang memiliki trek rekod pencapaian cemerlang, mempunyai pengalaman dan visi yang boleh membawa Melaka ke arah kesejahteraan.
“Kepada pengundi-pengundi Melaka, jangan membazirkan undi anda.
“Berilah undi itu sepenuhnya kepada BN agar negeri bersejarah ini dapat dipacu dengan gemilang,” katanya. – MalaysiaGazette