Home Nasional MARCOP tingkatkan aktiviti penyelidikan mekanisasi, automasi perladangan sawit

MARCOP tingkatkan aktiviti penyelidikan mekanisasi, automasi perladangan sawit

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 NOVEMBER 2021.

BANGI – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menubuhkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) untuk meningkatkan aktiviti bagi penyelidikan mekanisasi dan automasi perladangan sawit.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penggunaan teknologi harus diterokai dan ditingkatkan bagi mengatasi cabaran dalam industri berkenaan.

Menurut beliau, MARCOP akan memberi tumpuan terhadap teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam kerangka Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) melibatkan penggunaan teknologi seperti dron, robot dan sensor untuk operasi bersepadu dan sistematik.

“Pembentukan MARCOP ini untuk mengkaji teknologi-teknologi baharu yang boleh digunakan dari bentuk automasi dalam industri perladangan dan pengurusan ladang.

“Seperti saya sebut tadi oleh kerana kita bergantung pada tenaga buruh asing yang tinggi untuk kerja-kerja penuaian yang mana orang tempatan masih lagi tidak berminat untuk berkecimpung, maka MARCOP ditugaskan untuk mengkaji, mencari, menyelidik dengan pakar-pakar dan sebagainya untuk menghasilkan satu automasi yang boleh memudahkan kerja penuaian,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran MARCOP di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Larry Sng Wei Shein; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Utama MARCOP, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, sekiranya teknologi tersebut dapat dilaksanakan maka kebergantungan terhadap tenaga pekerja dapat dikurangkan sehingga 50 peratus bagi kerja-kerja penuaian.

“Dari segi pengurusan dan pengendalian nampak mudah kerana ia dikawal dari jauh iaitu menggunakan teknologi dron untuk memotong buah kelapa sawit dan mengutip buah.

“Jadi kalau kita dapat laksanakan, dapat hasilkan mesin itu kita boleh kurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja sekurang-kurangnya 50 peratus bagi kerja penuaian manakala kerja-kerja lain itu kita boleh bergantung dengan tenaga kerja tempatan,” ujarnya.

Zuraida berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta melalui geran padanan dalam Belanjawan 2021 untuk menyokong aktiviti MARCOP sementara pihak industri pula menyumbang RM30 juta melalui kutipan ses MPOB.

Jelasnya, peruntukan keseluruhan MARCOP adalah sebanyak RM60 juta untuk penyelidikan dan pengkomersialan teknologi mekanisasi ladang.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, penubuhan MARCOP berupaya meningkatkan penggunaan teknologi dan mekanisasi dalam sektor perladangan dengan mengoptimumkan kecekapan operasi penuaian buah tandan segar di samping mengurangkan kebergantungan tenaga buruh asing.

Katanya lagi, menerusi amalan teknologi IR4.0, ia bukan saja dapat meningkatkan produktiviti malah akan menarik minat rakyat tempatan menceburi kerjaya di sektor perladangan terutamanya sektor sawit.

Pengerusi Jawatankuasa Utama MARCOP, Datuk Mohamad Nageeb Ahmad Abdul Wahab. Foto AFFAN FAUZI, 18 NOVEMBER 2021.

Sementara itu, Mohd Nageeb berkata, industri berkenaan sedang mengalami kekangan pekerja berikutan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.

“Jadi sekarang industri kekurangan pekerja sekitar 75,000 orang. Oleh sebab itu pengeluaran negara pada tahun ini dianggarkan berkurangan, kita patut capai lebih 20 peratus daripada ketika ini kerana keluaran negara tahun ini pun kita jangka di bawah 18 juta tan itu penurunan yang paling ketara.

“Justeru, itu lah matlamat MARCOP untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja buruh dan pekerja asing. Selain itu, kita mahu menarik perhatian pekerja tempatan terutamanya anak-anak muda dengan teknologi baharu dengan peluang pekerjaan lebih luas,” katanya. – MalaysiaGazette