Home Sukan Rozaimi jalani sesi pemilihan bersama Sabah FC

Rozaimi jalani sesi pemilihan bersama Sabah FC

Rozaimi Abdul Rahman. Foto Kedah Darul Aman FC.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain skuad kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman bakal menjalani sesi pemilihan bersama Sabah bagi mendapatkan tempat dalam pasukan itu musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh Rozaimi menerusi laman media sosial rasmi Facebook miliknya.

Dia berkata, sesi pemilihan bersama Sabah menjadi keutamaan baginya pada musim hadapan.

“Saya akan jalani sesi pemilihan bersama Sabah FC kelak. Jika tidak terpilih sekali pun tidak mengapa mungkin bukan rezeki saya.”

“Kita cuba dulu, kalau dapat akan bermain bersama Sabah, jika tidak, saya akan ke semenanjung,” katanya.

Musim ini, Rozaimi beraksi bersama Kedah Darul Aman FC namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak pada Ogos lalu.

Penampilan terakhir Rozaimi bersama Kedah ialah ketika dia membantu pasukan itu meraih kemenangan ke atas Melaka United pada 30 April lalu dalam saingan Liga Super.

Pemain berusia 29 tahun itu beraksi bersama Sabah selama lima tahun sebelum berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2016.

Setelah beraksi bersama JDT selama empat musim, Rozaimi memilih untuk berhijrah dengan menyertai Kedah pada awal musim 2021 namun beliau hanya bertahan selama lapan bulan bersama kelab dari utara tanah air itu. – MalaysiaGazette