Home Nasional Simpan dadah bernilai RM1.52 juta dalam kilang terbiar milik keluarga

Simpan dadah bernilai RM1.52 juta dalam kilang terbiar milik keluarga

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman menunjukkan antara barang rampasan hasil menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menyimpan dadah di kilang yang trebiar milik keluarganya dalam serbuah Ops Kingfisher di Kampung Baru Cheras, di sini pada petang Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, penahanan lelaki berusia 36 tahun yang merupakan ahli sindiket dadah membawa kepada penemuan pelbagai dadah sintetik ketamin seberat 20.66 kilogram, methaphetamine (syabu) seberat 7.4 kilogram dan ekstasi seberat 3.30 kilogram yang bernilai RM1.52 juta.

“Polis turut merampas wang tunai RM200 yang dipercayai milik suspek tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman bercakap pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2021.

Menurut Yahaya, siasatan lanjut polis mendapati kilang milik bapa suspek itu pernah digunakan untuk menyimpan barang-barang pembinaan.

Tambah beliau, berikutan ibu bapanya sudah lama meninggal dunia dan kilang itu terbiar suspek mengambil kesempatan menjadikannya sebagai tempat penyimpanan bekalan dadah yang diedar untuk pasaran tempatan.

“Kita bertindak serbu kilang itu selepas menerima aduan awam mengenai aktiviti meragukan berjalan di premis terbiar yang terletak di kawasan terpencil dan sunyi.

“Suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan keputusannya positif dadah dan direman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya,” ujarnya.

Antara rampasan hasil kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2021.

Yahaya berkata, pihaknya sedang menyiasat sumber bekalan yang diperolehi suspek selain tempoh penggunaan kilang tersebut untuk menmyimpan dadah.

Sementara itu, beliau memberitahu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur telah melancarkan enam serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor Ops Lizard pada 15 November lalu hingga semalam.

Pada serbuan pertama, katanya, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di kawasan tempat letak kereta di Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Baru dan hasil hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 22.5 kilogram dadah jenis ganja, 2,800 biji pil disyaki erimin 5 yang disimpan dalam sebuah kereta milik suspek.

Menurutnya, dalam serbuan kedua di sebuah kawasan letak kereta di Kampung Baru polis menahan seorang pemuda tempatan 28 tahun yang mana ujian urinnya positif dadah sintetik.

“Dalam serbuan ketiga di sebuah Kondominium di Jalan Tun Razak, polis telah merampas tunai RM31,832 tetapi tiada tangkapan dibuat.

“Manakala serbuan keempat di sebuah kondominium di Selayang, Kepong lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan sebelum dadah jenis ganja seberat 0.78 gram bernilai RM128 dan positif syabu ditemui.

“Serbuan kelima di tempat letak kereta kondominium di Selayang rampasan 8.22 kilogram ganja ditemui dalam kereta dan tiada rampasan pada serbuan keenam.

“Rampasan keseluruhan dadah ganja adalah 31.51 kilogram dan 2,800 biji erimin 5 bernilai RM122,025 serta kereta Perodua Bezza bernilai RM42,551 selain harta suspek bernilai RM74,383,” ujarnya.

Yahaya berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan menjadikan kereta suspek sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengelak di kesan pihak berkuasa.

Tambah beliau, suspek hanya mengedarkan dadah kepada kenalan rapat telah bergerak aktif sejak pertengahan tahun ini.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 22 November ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette