Home Nasional Tiga syarikat terima SST PoP bukti projek Jendela dibuat segera

Tiga syarikat terima SST PoP bukti projek Jendela dibuat segera

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (dua kiri) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek (tiga kanan) beramah mesra dengan wakil syarikat yang menerima Surat Setuju Terima (SST) bagi projek penyediaan dan penyelenggaraan infrastruktur gentian optik di kawasan berhampiran sekolah, perindustrian, premis kerajaan dan kawasan komuniti kepada syarikat Celcom, Maxis dan Telekom Malaysia (TM) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 18 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Sebanyak tiga buah syarikat menerima Surat Setuju Terima (SST) Tender Bekalan, Kerja serta Perkhidmatan Bagi Projek Penyediaan dan Penyelenggaraan Point of Presence (PoP) Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, penyerahan SST berkenaan sebagai tanda kepada Ahli Dewan Rakyat bahawa beliau menunaikan janji agar pelaksanaan  projek dalam Jendela bermula dengan segera.

“Saya telah berjanji dengan ahli-ahli Parlimen untuk memastikan rolled out berlaku dalam bulan Disember jadi surat tawaran ini adalah saya menunaikan janji saya kepada ahli Parlimen bahawa kerja-kerja untuk Jendela yang menelan belanja RM700 juta ini mesti dilaksanakan.

“Arahan kita adalah mereka menyiapkan mengikut jadual yang diberikan,” katanya di sini hari ini.

Beliau menjangkakan Kerja serta Perkhidmatan Bagi Projek Penyediaan dan Penyelenggaraan Fasa 1 bagi tujuh zon yang terlibat iaitu, Zon Utara, Tengah, Selatan, Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan Kawasan Perindustrian akan siap dalam tempoh dua tahun.

“Tahun 2022 sangat penting kerana kita telah keluarkan arahan jadi pelaksanaannya perlu berjalan,” ujar beliau.

Projek PoP ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa 1 ( tahun 2022) sebanyak 630 PoP dan Fasa 2 (tahun 2022-2025) sebanyak 3,693 PoP.

Untuk rekod, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (National Fiberisation and Connectivity Plan – NFCP) 2019 – 2023 yang kini dikenali sebagai Jendela bagi menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat termasuk masyarakat luar bandar di seluruh negara.

Projek berkenaan menyasarkan untuk menyediakan infrastruktur gentian optik berhampiran kawasan sekolah, premis kerajaan, kawasan perniagaan, kemudahan awam dan komersial lainnya bagi membolehkan rakyat mempunyai akses kepada infrastruktur gentian optik dan menikmati capaian jalur lebar dengan kelajuan yang lebih tinggi.

Dijangka projek ini akan mengoptimumkan infrastruktur digital sedia ada, selain mengurangkan pertindanan dalam pembinaan infrastruktur digital baharu yang melibatkan kementerian, jabatan, agensi dan syarikat-syarikat swasta di seluruh negara.

Antara kerja-kerja yang akan dilakukan  oleh semua syarikat yang telah menerima SST hari ini adalah pemasangan gentian optik ke kawasan-kawasan sekolah, premis kediaman, perniagaan, komersial, industri dan lain-lain, penyediaan  perkhidmatan Internet Jalur Lebar Talian Tetap (JLTT) ke kawasan populasi dan juga bangunan yang berhampiran dan penyelenggaraan infrastruktur gentian optik.- MalaysiaGazette