Home Politik ‘Kapten Covid-19’ ada kelebihan pikat pengundi di Ayer Molek

‘Kapten Covid-19’ ada kelebihan pikat pengundi di Ayer Molek

Datuk Rahmad Mariman
Datuk Rahmad Mariman

MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman menyifatkan popularitinya menguruskan isu pandemik Covid-19 sebagai ‘bonus’ dalam kempennya memasuki hari terakhir hari ini.

Beliau yang juga bekas Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka berkata, kelebihannya yang kerap muncul dalam laporan media mengenai isu pandemik itu saban hari membuatkannya lebih dikenali berbanding calon-calon lain.

Malah katanya, sebagai penyandang DUN berkenaan, rata-rata pengundi sudah mengenalinya yang terbukti berjaya membawa pelbagai perubahan dan pembangunan kawasan terbabit selama lebih tiga tahun menjadi pemimpin.

“Kebetulan ketika pandemik Covid-19 melanda pada Mac 2020, berlaku gelombang satu, dua dan tiga mungkin di situ saya ada kelebihan menjadi popular kerana sebagai Exco, rakyat lebih mengenali saya yang menguruskan pandemik.

“Selaku ‘kapten pandemik’ Melaka dan pencapaian juga telah ada, pernah kita sampai kosong kes (Covid-19 sehari) jadi dengan secara kebetulan pandemik ni juga telah ‘promotekan’ saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette ketika berkempen mengedarkan risalah dari rumah ke rumah di Kampung Paya Meranti dan Rumah Awam Bukit Lintang di sini.

Mengulas lanjut, Rahmad bagaimanapun berkata, segala usahanya membantu Melaka menguruskan pandemik Covid-19 bukanlah usahanya sendiri sebaliknya dibantu pasukan besar daripada pelbagai agensi negeri.

“Kejayaan ini bukan usaha individu, sebaliknya satu pasukan termasuklah segala apa kejayaan lain yang dikongsikan melalui media sosial selama 22 bulan saya menjadi wakil rakyat pembangkang dan 18 bulan menjadi ADUN kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette