AYER KEROH – Ketua Menteri Sementara Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak menafikan parti-parti besar mempunyai kelebihan meraih undi sekiranya peratusan keluar mengundi menyusut atau kurang 60 peratus, esok.
Bagaimanapun Sulaiman menegaskan, itu hanya sekadar andaian semata-mata, sebaliknya keputusan di atas kertas undi akan memuktamadkan parti yang mendapat kelebihan itu.
“Benar saya bersetuju (keluar undi rendah) kalau esok peratusan keluar mengundi itu memberikan kelebihan kepada parti-parti terbesar yang mempunyai banyak pengaruh.
“Tetapi itu hanya analisa dan andaian, yang sebenarnya esok itu atas kertas, yang pentingnya kertas undi esok selepas pukul 5 petang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sementara itu, Sulaiman mengulangi pesanannya agar rakyat Melaka tidak mengulangi kesilapan sama seperti mana yang berlaku dalam PRU14 lalu hingga menyebabkan berlakunya ketidakstabilan kerajaan.
“Tidak ada mana satu pun parti secara individu pun membentuk kerajaan.
“Sebab itu saya minta rakyat keluar beramai-ramai, buat pilihan tepat dan betul, jangan silap memilih kerajaan.
“Tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan seperti mana yang berlaku pada PRU14, ia akan berterusan dalam PRU15.
“Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka nanti mungkin akan berlaku lompat-melompat, ini menyebabkan kerajaan tidak stabil,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya BN gagal mendapat majoriti dan membentuk kerajaan negeri sekali lagi, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti.
“Kalau tiada mana-mana parti yang dapat membentuk kerajaan, itu saya serah kepada pihak pimpinan (BN)
“Kita menurut dan mengikuti apa saja arahan pihak atasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette