AYER KEROH – Pengundi-pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dinasihatkan agar bijak memilih kerajaan yang akan memimpin negeri itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat harus membuang jauh istilah cubaan menukar kerajaan yang ternyata merugikan rakyat.
“Cukuplah PRU14 dulu rakyat kata nak tukar kerajaan, kita cuba kalau tak elok kita bagi balik kepada BN. Dulu kata ini kalilah tukar BN, tapi kini ini kalilah kita bagi balik kepada BN.
“Pengundi Melaka dan seluruh negara sudah menderita di bawah Pakatan Harapan (PH), mereka tidak buat apa pun, bergaduh sesama sendiri siapa nak jadi Perdana Menteri,” katanya dalam program Edisi Khas bersama Pengarah Pilihanraya (PRN) Melaka berjudul Undilah BN demi kestabilan dan kemakmuran, sebentar tadi.
‘Ini kalilah’ sinomin dikaitkan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu apabila pembangkang menggunakan slogan itu untuk mengajak rakyat Malaysia menukar kerajaan.
Ia menjadi kenyataan apabila gabungan PH berjaya membentuk kerajaan pada 9 Mei 2018 apabila menewaskan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri BN menambah, BN mempunyai pengalaman 62 tahun mentadbir negara dan Negeri Melaka.
Maka BN adalah pilihan terbaik buat pengundi Melaka untuk mengembalikan mandat itu kepada BN.
“BN punya pasukan yang mantap dan mempuyai pengalaman mentadbir negara dan negeri yang baik. Bagi balik kepada BN, kita akan uruskan dan tidak ada cerita-cerita nak menipu rakyat.
“62 tahun kita tadbir negara tidak ada menipu rakyat tapi yang menipu rakyat adalah PH dan PN pula tidak buat apa-apa pun,” katanya lagi.
Untuk rekod, sejumlah 476,037 pengundi berdaftar pada PRN Melaka layak untuk mengundi antara jam 8 pagi hingga 5.30 petang esok.
Seramai 7,601 individu sudah mengundi secara pos dan 10,390 anggota polis, tentera dan pasangan pula mengundi awal Selasa lalu.
PRN Melaka dilaksanakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu, susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh keputusan penuh PRN Melaka dijangka diketahui dan diumumkan sekitar jam 10 malam esok. – MalaysiaGazette