KUALA LUMPUR – Polis mengeluarkan dua saman trafik terhadap seorang anggotanya yang didapati menunggang motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kira-kira pukul 5.30 petang tular rakaman video di aplikasi TikTok yang berdurasi 21 saat memaparkan seorang anggota polis melanggar peraturan.
“Tindakan berlandaskan undang-undang telah diambil terhadap anggota ronda dari Balai Polis Ampang dengan mengeluarkan dua saman trafik bagi kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (fancy) dan tiada cermin sisi.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, rakaman video tular di TikTok memaparkan seorang anggota polis yang lengkap beruniform menunggang motosikal tanpa cermin sisi selain nombor pendaftaran yang fancy.
Video terbabit dipercayai dirakam oleh seorang individu dari dalam kereta di sekitar kawasan rumah kedai. – MalaysiaGazette