Home Politik Saya kawan, kenal Pas Lendu sejak kecil – Sulaiman

Saya kawan, kenal Pas Lendu sejak kecil – Sulaiman

Calon Barisan Nasional N.04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas sidang media pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kediaman Rasmi Ketua Menteri Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 19 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Jentera Pas Lendu yang menyokong secara terbuka kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merupakan kenalan lama Ketua Menteri Sementara itu.

Sulaiman berkata, beliau tidak memaksa mana-mana parti pembangkang untuk menyokong beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun dalam kalangan rakan-rakannya.

Bagaimanapun beliau menyambut baik kerelaan jentera Pas Lendu yang sanggup membantu untuk memastikan Dewan Undang Negeri (DUN) Lendu kekal milik BN, esok.

“Kalau dia sokong, saya ucap terima kasih sebab rata-rata ahli-ahli Pas Lendu ini rakan-rakan saya juga, rakan-rakan jemaah saya di masjid, surau dan kedai kopi.

“Rata-rata saya mengenali, tapi kalau seperti mana yang telah diumumkan menyokong, saya berasa syukur Alhamdulillah.

“Terserah kepada mereka dan sudah pasti sebelum ini pun saya tak kira mana-mana parti,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Ketua Menteri Melaka, Seri Bendahara, pagi ini.

Semalam, seramai tujuh pemimpin Pas Lendu menyatakan sokongan terbuka untuk mengundi calon BN Lendu yang juga Ketua Menteri Sementara itu pada PRN Melaka, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, sokongan itu sudah diduga kerana hubungan beliau dengan Pas Lendu telah berlangsung sejak kecil dan beliau membantu mana-mana pihak tanpa mengira parti politik.

“Selagi saya wakil rakyat ketika itu, saya bukan ketua menteri pun, saya membantu semua, saya tak kira parti.

“Kalau kata hak orang itu, kalau perlu bantu kita bantu sebab itu kemanusiaan, bila jadi pemimpin, ini bukan soal parti.

“Sebab itu saya senang bersama dengan pihak parti lawan, ini bukan waktu untuk memilih ataupun waktu nak pilihan raya, tidak

“Saya kawan dan kenal mereka sejak kecil lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

+ posts