MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N07 Gadek, VP Shanmugam sekali lagi tampil memohon kepada pengundi untuk keluar mengundi esok.
Kata calon tunggal MIC itu, besar sungguh harapan beliau untuk BN mentadbir Melaka sekaligus kembalikan kemakmuran yang terbina selama puluhan tahun.
“Cukuplah terima dan percaya apa yang dijanjikan oleh pihak lawan. Selama diberikan mandat adakah mereka dapat mentadbir? Adakah mereka laksanakan janji-janji mereka? Adakah stabil keadaan politik kita?
“Ketika BN mentadbir bukan sehari dua, bukan beberapa bulan atau beberapa tahun sebaliknya lebih 60 tahun, kita tidak ada isu lompat-melompat. Kita tidak ada isu rakyat bangkitkan janji manifesto dan pastinya kita sentiasa menjaga kebajikan rakyat jika tidak bagaimana tadbir puluhan tahun?,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Katanya, pembangkang menabur pelbagai janji dan fitnah dan apabila mereka menang apa dijanjikanitu dilupakan’
“Saya mohon sangat-sangat kepada pengundi di negeri ini khususnya di Gadek, tolonglah keluar undi, tolong beri sokongan kepada BN yang sekaligus menjanjikan kemakmuran dan kestabilan. Ini bukan retorik ini kenyataan,” katanya.
Pada 2018 MIC gagal mempertahankan kerusi Gadek apabila calonnya, P Panirchelvam kalah kepada Saminathan dengan hanya majoriti 307 undi.
Shanmugam akan menghadapi persaingan lima penjuru dan akan ditentang, penyandang G Saminathan (DAP PH), Mohd Amir Fitri Muharam (Bersatu PN), Laila Norinda Maon (Putra), Azafen Amin (Bebas) dan Mohan Singh (Bebas). – Malaysiagazette
PRN Melaka : Baliklah Mengundi, BN Perlukan Sokongan Penduduk – Calon BN N.07 Gadek