Home Politik Uptown di Paya Rumput untuk penjaja kecil – Rais

Uptown di Paya Rumput untuk penjaja kecil – Rais

PAYA RUMPUT – Cadangan mewujudkan uptown di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Melaka akan merancakkan lagi ekonomi rakyat di kawasan ini.

Calon Barisan Nasional (BN) kawasan ini, Datuk Rais Yasin berkata, jika beliau diberi mandat oleh penduduk di Paya Rumput pada hari mengundi esok, perancangannya untuk mewujudkan ‘uptown’ ini dijangka memanfaatkan kira-kira 500 pengusaha dan penjaja.

Menurut beliau, cadangan uptown itu merupakan antara aku janji beliau jika di pilih oleh pengundi DUN berkenaan, selain menjanjikan penyelarasan bersama agensi dan jabatan yang terlibat untuk mengatasi masalah banjir di kebanyakan tempat di kawasan ini serta memastikan peningkatan capaian dan kelajuan Internet di tahap memuaskan terutama di kawasan-kawasan yang terjejas.

“Insya Allah kita akan berbincang dengan pihak majlis, saya yakin dan percaya perkara ini dapat direalisasikan. Kalau kita tengok, rata-rata mereka ini terkesan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan, jadi perkara ini memang amat perlu diberi perhatian,” kata Rais ketika ditemui media di sini hari ini.

Selain itu, cadangan menambahkan perumahan projek perumahan rakyat bagi golongan B40 dan menyediakan khidmat ambulan percuma untuk penduduk DUN ini juga menjadi aku janji Rais. – MalaysiaGazette