ALOR GAJAH – Pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dinasihatkan keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat masing-masing dan membentu kerjaaan negeri yang baharu.
Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari membuat saranan itu ekoran cuaca mendung di sekitar Melaka, hari ini.
“Memang agak mendung sedikit dan mungkin akan cerah pada tengahari, saya harap pengundi cepat keluar mengundi dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada media selepas selesai mengundi pada jam 8.25 pagi tadi.
Terdahulu, Adly yang ditemani isterinya, Dalilah Awaludin tiba di perkarangan pusat mengundi jam 8.07 pagi.
Calon Ketua Menteri Melaka bagi Pakatan Harapan (PH) itu berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya rasa pengundian berjalan dengan baik dan ikut SOP yang telah ditetapkan.
“Tempoh pengundian itu sekejap sahaja jadi saya fikir SPR telah melaksanakan ikut SOP yang telah ditetapkan,” kata calon bagi DUN Bukit Katil itu.
Untuk rekod, sejumlah 217 pusat pengundian dibuka hari ini bermula jam 8 pagi dan akan ditutup jam 5.30 petang nanti.
Hari ini sejumlah 476,037 rakyat Melaka akan menunaikan tanggungjawab memilih kerajaaan sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15. – MalaysiaGazette