Home Nasional Kematian akibat jangkitan bakteria kebal adalah dua kali ganda

Kematian akibat jangkitan bakteria kebal adalah dua kali ganda

fully vaccinated Omicron variant VOC reinfection rate Malaysia-Singapore Vaccinated Travel Lane VTL Covid-19 positive Antivaxxers dajjal Covid-19 vaccine Khairy Jamaluddin KJ
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Berdasarkan kajian antarabangsa, kadar kematian pesakit yang dirawat di hospital dengan jangkitan serius disebabkan bakteria kebal adalah dua kali ganda berbanding pesakit dengan jangkitan bakteria biasa.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ini disebabkan oleh isu kerintangan antibiotik yang boleh menyebabkan penyakit sukar diubati sekali gus meningkatkan risiko morbiditi dan kematian.

Katanya, penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan berleluasa telah mewujudkan masalah kerintangan antibiotik atau antimicrobial resistance (AMR).

“Kerintangan antibiotik berlaku apabila bakteria menjadi kebal kepada antibiotik dan menyebabkan antibiotik yang digunakan tidak berkesan merawat jangkitan.

“Peningkatan kerintangan antibiotik menjadi ancaman yang membimbangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pelancaran Kempen Minggu Kesedaran AntiMikrob Sedunia 2021 ‘Hentikan Penyalahgunaan dan Penggunaan Berlebihan Antibiotik’ menerusi dalam talian, hari ini.

Tambah Khairy, dianggarkan, sebanyak 700,000 kematian global setiap tahun adalah dikaitkan dengan isu kerintangan antibiotik.

Angka ini katanya lagi dijangka meningkat kepada 10 juta menjelang tahun 2050.

Sehubungan itu ujar Khairy, masyarakat harus memahami bahawa tidak semua penyakit adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria.

“Sakit seperti batuk, selesema dan sakit tekak yang disebabkan oleh virus, tidak memerlukan rawatan menggunakan antibiotik kerana penggunaan antibiotik untuk rawatan sakit seperti ini adalah tidak berkesan atau tidak diperlukan sama sekali.

“Sebaliknya, dapatkan nasihat doktor untuk rawatan yang sesuai jika tidak sihat,” tambah Khairy.

Kata Khairy, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO0 melancarkan kempen ‘Go Blue for AMR‘ sempena Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia untuk meningkatkan kesedaran global terhadap isu kerintangan antibiotik.

Individu, komuniti dan organisasi katanya digalakkan memakai pakaian berwarna biru muda, mencahayakan bangunan atau monumen dengan lampu berwarna biru muda sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap kempen ini.

Malaysia akan turut sama menyertai seluruh dunia pada 24 November ini dengan menerangi Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan mewarnakan pancutan air di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan cahaya biru sebagai tanda komitmen menangani isu kerintangan antibiotik.- MalaysiaGazette.