Home Nasional Mas Ermieyati lawat kubur ayah sebelum mengundi

Mas Ermieyati lawat kubur ayah sebelum mengundi

Calon PN N.02 Tanjung Bidara yang merupakan calon Ketua Menteri, Datuk Seri Mas Ermieyati membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di SK Ramuan China Besar, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Calon Ketua Menteri bagi Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin kelihatan sedikit beremosi ketika hadir mengundi pada pagi ini.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu berkata, beliau sebenarnya merindui arwah ayahnya, Samsudin Md Ali dan telah melawat kubur arwah sebelum hadir mengundi SK Ramuan China Besar pagi ini sekitar 7.55 pagi.

“Arwah juga suka politik, walaupun saya tidak banyak bercakap tentangnya, saya banyak ikut jejak langkah kerana beliau adalah idola saya.

“Hari ini hari yang sangat penting buat rakyat Melaka yang mengundi menentukan kerajaan yang mereka hendak, begitu juga dengan saya.

“Hari ini juga hari penting buat diri saya kerana itu saya sempat ke kubur arwah ayah yang banyak membimbing saya sehingga saya ke tahap ini. Saya berdoa kepadanya terlebih dahulu.

“Semoga hari ini akan jadi memberi keberkatan kepada semua,” katanya kepada media.

Mas Ermiyati bakal berentap dengan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon PH, Zainal Hassan.

Walaupun pertandingan tiga penjuru, hakikat pertempuran adalah antara Ab Rauf yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dengan Mas Ermieyati yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahagian sama.

Ab Rauf adalah muka baharu dalam pilihan raya, namun Mas Ermieyati pula sudah mengharungi cabaran sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ketika menjawat jawatan Ketua Puteri UMNO.

Kerusi Tanjung Bidara sebelum ini diwakili Datuk Md Rawi Mahmud yang menang pada PRU-13 dan PRU-14, tetapi bagi PRN Melaka, beliau mengundur diri atas faktor usia.

Dalam pada Itu, Mas Ermiyati melahirkan rasa lega kerana ramai pengundi yang hadir menjalankan tanggungjawab mereka seawal 7.30 pagi.

“Walaupun ada pelbagai cabaran termasuklah norma baharu namun ianya tidak halang pengundi untuk keluar mengundi.

“Ini sangat positif kerana rakyat mahu memilih dan menentukan pemimpin mereka untuk mentadbir Negeri Melaka ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette