Home Nasional Sanggup rendam dalam kolah elak dicekup polis

Sanggup rendam dalam kolah elak dicekup polis

Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengadakan serbuan dan pemeriksaan dalam Ops Sarang Khas baru-baru ini.

KUANTAN – Taktik merendam dalam kolah tidak dapat mengaburi mata pihak berkuasa dalam usaha memburu suspek ketika Ops Sarang Khas dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (BSJND) Kuantan pada Khamis lalu.

Wartawan MalaysiaGazette menyertai Ops Sarang Khas bersama lima pegawai dan 70 anggota di beberapa lokasi panas Felda melihat pelbagai percubaan suspek yang cuba meloloskan diri daripada dicekup.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, operasi dijalankan setelah pengintipan dilakukan selama dua minggu bagi mengenalpasti suspek yang terlibat dengan dadah.

“Serbuan dilakukan pada waktu malam, jadi suspek berkemungkinan ada di rumah namun mereka  tetap berusaha melarikan diri daripada pihak berkuasa, termasuk terjun ke dalam kolah air yang sejuk.

“Malahan ada ahli keluarga cuba melindungi penjenayah dengan mengatakan suspek tiada di rumah dan enggan memberi kerjasama,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Menurut Wan Mohd Zahari, suspek yang menyorok di dalam bilik air menyedari kehadiran polis bertindak sedemikian setelah pihak berkuasa berada di pintu hadapan rumahnya.

“Tiada cara lain untuk keluar dari rumah keluarganya, maka terus bertindak dengan merendam diri dalam air kolah dengan harapan terlepas.

Namun, tindakan itu tidak bertahan lama kerana pihak polis menggeledah seluruh rumah dan mengesyaki sesuatu apabila bunyi sesuatu di bilik air.

Tinjauan MalaysiaGazette melihat suspek  tidak tahan bernafas dalam air lalu keluar dari kolah dengan menggigil kesejukan.

Suspek yang berusia 39 tahun itu turut ditahan bersama dua lagi saudaranya di dalam rumah yang sama.

Suspek mengakui bergelumang dengan najis dadah sejak dua tahun lalu dengan mencuba pil kuda dan menjadikan ladang kelapa sawit untuk melepaskan gian.

Dia ditahan di bawah Seksyen 12(1) ADB 1952 kerana memiliki heroin dan ujian saringan awal didapati positif dadah jenis Morphine di bawah Seksyen 15(1)(a) 1952. – MalaysiaGazette