KUALA LUMPUR – Tiga beranak, termasuk kanak-kanak berusia 2 tahun, nyaris maut apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka dihempap pokok ketapang di Batu 1, Jalan Kapar-Kuala Selangor, Klang pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai indisen tersebut pada jam 6.16 pagi mengerahkan sepasukan enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi jam sekitar 6.24 pagi, pemerhatian dan pemeriksaan lanjut di lokasi insiden mendapati kereta Myvi itu masih dihempap pokok setinggi kira-kira sembilan meter.
“Semua mangsa bagaimanapun ditemui selamat dan pasangan suami isteri berusia 20-an bersama anak kecil mereka berjaya mencari ruang keluar sendiri dari kereta yang tersangkut di bawah pokok besar sebelum bomba tiba ke lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Norazam, pihaknya memotong batang pokok berkenaan dan mengalihkan ke kawasan selamat.
“Kita turut mengeluarkan kenderaan Myvi milik mangsa yang dihempap pokok tersebut bagi kelancaran lalu lintas.
“Operasi berkenaan berjalan lancar dan tamat sepenuhnya tidak lama kemudian,” ujarnya. – MalaysiaGazette