Home Nasional Walaupun payah, pengundi kaki palsu tetap datang mengundi

Walaupun payah, pengundi kaki palsu tetap datang mengundi

Zakaria yang berkaki robot menunjukkan jari telunjuk kanannya sebagai bukti telah membuang undi di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama (JAIM), Taman Datuk Thamby Chik Karim di sini, hari ini.

BATU BERENDAM – Kecacatan kekal dialami seorang bekas operator kilang hingga terpaksa berjalan menggunakan kaki palsu tidak menjadi penghalangnya  menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung hari ini.

Zakaria Hasmin, 56, menjadi tumpuan media dan orang ramai di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama (JAIM), Taman Datuk Thamby Chik Karim selepas beliau dilihat berjalan perlahan dengan menggunakan tongkat, selain menampakkan kaki kanannya tidak seperti orang biasa.

Ketika ditemui, Zakaria yang ditemani anaknya ketika hadir ke pusat pengundian tersebut berkata, dia terpaksa menggunakan kaki palsu itu sejak tahun 2018 selepas kakinya terpaksa dipotong ekoran  komplikasi akibat keracunan makanan.

Katanya, kakinya menjadi rosak dan doktor menyarankan agar beliau membuat pembedahan untuk membuang kaki kanannya itu bagi mengelak keadaan semakin serius.

Ditanya, mengapa beliau sanggup untuk keluar mengundi sedangkan mengalami kesukaran untuk bergerak, Zakaria menjawab, ia merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan olehnya sebagai seorang warganegara Malaysia.

Katanya, kecacatan yang dialami tidak wajar dijadikan alasan untuk menghalang beliau daripada memilih seorang wakil rakyat yang boleh membawa suara mewakili dirinya dan keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya rakyat Malaysia, saya kena ada tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat.

“Saya tak boleh jadikan alasan kecacatan saya ini untuk tak tunai tanggunjawab sebagai pengundi…tak mengapa anak lelaki saya boleh membantu saya bergerak,” ujarnya yang memberitahu kini hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual makanan bergoreng di gerai tepi jalan.

Hari ini seramai 476,037 rakyat Melaka menunaikan tanggungjawab memilih kerajaaan sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15.

Sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran dibuka tepat pukul 8 pagi dengan suasana pengundian dalam norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan wabak Covid-19.

PRN Melaka mempertaruhkan 28 kerusi DUN dan 112 calon bertanding masing-masing mewakili Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Bebas, Putra dan Iman. – MalaysiaGazette