LONDON – Manchester United akhirnya memecat Ole Gunnar Solskjaer selepas tiga tahun menjawat tugas pengurus Old Trafford.
Ia berikutan pasukan di bawah pengendaliannya hanya meraih satu kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.
Manchester United dalam satu kenyataan mengumumkan Solskjaer sudah meninggalkan peranannya sebagai pengurus.
“Ole akan sentiasa menjadi lagenda di Manchester United dan dengan rasa kesal kami mencapai keputusan yang sukar ini.
“Meskipun beberapa minggu kebelakangan ini kelab meraih keputusan mengecewakan, kita tidak seharusnya melupakan jasanya sepanjang tiga tahun lalu membina semula pasukan ini untuk kejayaan jangka masa panjang,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Kekalahan 1-4 di tangan kelab sedang bergelut, Watford merupakan kemuncak kepada keputusan dilakukan ahli lembaga pengarah United.
Pengendali dari Norway itu meninggalkan United ketika kelab itu hampir pasti gagal untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana apabila ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea. – Agensi