KUALA LUMPUR – Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) mengucapkan tahniah kepada semua wakil rakyat yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan berharap mereka menunaikan segala janji ketika berkempen.
Timbalan Presidennya, Datuk Mohamed Ismail Ibrahim berkata, walaupun parti itu kalah, IMAN berbangga dengan calon tunggal iaitu Abdul Aziz Osani Kasim yang bertanding Dewan Undangan Negeru di Machap Jaya yang berdepan pelbagai cabaran.
Jelas beliau, Abdul Aziz telah menjalankan tanggungjawabnya sepanjang kempen dengan menjiwai nilai-nilai yang dipegang IMAN iaitu bekerja keras, amanah, berprinsip, beragama, inklusif dan mewakili serta mewakili kepelbagaian budaya.
“Keputusan pilihan raya ini mungkin bukan keputusan yang kami mahukan atau apa yang kami usahakan tetapi kami terima keputusan bagi pihak calon kami di Machap Jaya.
“Walaupun begitu keputusan ini sama sekali tidak melemahkan keazaman kami mahu pun mengurangkan semangat IMAN untuk terus berkongsi nilai sejagat yang ingin kami kongsikan dan visi yang kami pegang untuk negara tercinta ini.
“Kami menerima keputusan pilihanraya dan IMAN tetap bersyukur sebab dapat menyertai kempen yang bersejarah ini memandangkan parti politik ini masih baru.
“Kami berpendapat bahawa kami mewakili antara yang terbaik dari Malaysia dan pilihancraya ini memberi kami peluang untuk memperkenalkan calon kami di Melaka yang merupakan detik penting bagi parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada PRN Melaka, IMAN dan kesemua 22 calon Bebas serta lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan calon tunggal Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) adalah antara 34 calon yang hilang deposit setelah gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.
Mengulas lanjut, Mohamed Ismail berkata, IMAN menyedari betapa mendalamnya perpecahan negara kita pada masa ini namun parti itu masih percaya rakyat menerima keputusan PRN dan akan melihat ke masa depan.
Jelas beliau, IMAN menerima hakikat negara ini mengamalkan emokrasi berperlembagaan yang turut menjadi tunjang negara hyang menuntut penyertaan rakyat bukan sahaja dalam setiap pilihan raya tetapi pada setiap peluang dan masa.
Mohamed Ismail turut berterima kasih kepada ahli parti yang kreatif, berbakat, berdedikasi yang bekerja siang dan malam sepanjang kempen diMachap Jaya.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya kerana pilihan raya ini berjalan lancar, serta pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana membantu di kala pandemik ini.
“Parti IMAN baru sahaja bermula, dalam tempoh beberapa bulan kita sudah mempunyai lebih 10,000 ahli di seluruh negara. Kami kini berkembang dengan pesat setiap bulan. Kami berharap untuk berkumpul semula dan bersiap sedia untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 di mana kami akan lebih bersedia,” katanya. – MalaysiaGazette