KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China esok.
Ini bagi meraikan ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China yang dijadualkan melalui persidangan video.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Ismail Sabri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan pegawai kanan kerajaan.
Sidang Kemuncak Khas itu akan memberi tumpuan kepada penilaian dan hala tuju kerjasama ASEAN-China, termasuk meningkatkan hubungan ASEAN dan China kepada kerjasama strategik yang menyeluruh.
“China merupakan antara rakan kongsi ASEAN yang paling dinamik dengan kerjasama dan kolaborasi merangkumi pelbagai sektor di bawah semua tiga tonggak ASEAN.
“Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Khas ini mencerminkan komitmen negara untuk terus mempertingkatkan hubungan dialog ASEAN-China,” kata kenyataan itu kepada media hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia berharap Sidang Kemuncak Khas itu akan membuka jalan untuk pemimpin mencapai kesepakatan berhubung matlamat yang saling memanfaatkan, dalam usaha menggalakkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama di rantau ini. – MalaysiaGazette