Home Politik Adakah DAP ingin singkirkan PKR dari PH? – Thiban

Adakah DAP ingin singkirkan PKR dari PH? – Thiban

Thiban Subramaniam

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) melahirkan rasa kecewa dengan pemimpin DAP yang bukan sahaja cuba menuding jari kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya Naib Ketua AMK, Thiban Subbramaniam juga menganggap kenyataan itu biadap kerana cuba mendesak Anwar yang juga Presiden PKR untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada pihak lain.

Kata Thiban kepada MalaysiaGazette, tindakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen sebenarnya angkuh, biadap dan tidak sedar diri.

“Senang-senang sahaja tuding jari, minta letak jawatan dan bagi ruangan. Kenapa tidak minta pimpinan tertinggi anda untuk lakukan sedemikian? Tidakkah anda rasa apa yang dilakukan oleh anda ini tidak adil dan mengeruhkan keadaan sahaja?

“Mengapa tidak biarkan pucuk pimpinan tertinggi untuk melakukan post mortem terlebih dahulu? Biarlah kita kenal pasti dulu mengapakah ini terjadi selain duduk semeja dan cari jalan penyelesaian?

“Apa yang dilakukan oleh anda ini sungguh memalukan pastinya mengundang rasa seronok di pihak lawan yang bertepuk tangan bersorak gembira tengok kita bercakaran sesama sendiri.

“Sebagai seorang pemimpin dan wakil rakyat, bukankah anda perlu berfikiran lebih matang dan praktikal daripada terus menuding jari dan cari salah? Kekalahan di PRN Melaka mempunyai banyak faktor, bukan Anwar Ibrahim,” katanya.

Hari ini, Chin Chen berkata sudah tiba masanya untuk pakatan pembangkang perlu meneroka hala tuju dan konsensus baru secepat mungkin.

Katanya, sekiranya gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada PH.

“Saya berharap Anwar akan melepaskan baton kepimpinan, berada di belakang kepimpinan dan membantu pengganti generasi baru mencapai tahap yang baru.

“Saya menyeru Anwar berundur sebagai ketua pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baru. Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu,” kata Chin Chen.

Selain ADUN Bilut, beberapa lagi pimpinan muda DAP turut menyatakan perkara yang sama.

Kata Thiban lagi, pimpinan PH termasuk Anwar bersedia menerima kritikan dan pandangan tetapi jangan hanya menuduh untuk menutup kelemahan masing-masing.

“Saya juga menggesa beliau kemukakan satu nama yang mampu untuk menggantikan Anwar selaku Ketua Pembangkang. Jika tidak adalah lebih baik ADUN Bilut ini memohon maaf secara terbuka kerana kenyataan bodoh sombong ini.

“Hakikatnya kenyataan ini menunjukkan bahawa semangat setiakawan dalam PH semakin pudar dan rakan sekutu tidak ikhlas dalam kesatuan. Kalah PRN terus ugut keluar.

“Adakah sebenarnya sudah wujud satu rancangan untuk menubuhkan pakatan baru tanpa Keadilan? Jika itu yang dimahukan oleh pimpinan DAP maka mereka boleh keluarkan Keadilan dari PH.

Jelas Thiban lagi, sepatutnya semangat setiakawan itu harus dikekalkan dan bukannya menunding jari menyalahkan satu sama lain sebaliknya cari jalan penyelesaian dan rapatkan saf.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemimpin muda DAP mahu Anwar lepaskan jawatan