Home Nasional Bomba sedia bantu agensi kerajaan isu keselamatan bangunan tinggi

Bomba sedia bantu agensi kerajaan isu keselamatan bangunan tinggi

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

SEBERANG JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sedia duduk bersama agensi kerajaan dan pemaju perumahan bagi membincangkan isu keselamatan bangunan tinggi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, demikian merujuk insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak pada Rabu lalu.

Perbincangan perlu dibuat memandangkan aspek pembinaan bangunan tinggi bukan di bawah bidang kuasa pihaknya.

JBPM, katanya, hanya bertanggung jawab berkaitan aspek keselamatan kebakaran serta pelepasan diri sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Jelas beliau, agensi yang bertanggungjawab berkaitan aspek pembinaan bangunan tinggi boleh mengkaji isu tersebut di bawah peruntukan undang-undang mereka.

“Kajian dibuat oleh pihak bomba lebih kepada keselamatan kebakaran dan pelepasan diri manakala aspek pembinaan dan keselamatan pagar, balkoni dan sebagainya bukan di bawah bidang kuasa bomba.

“Jabatan atau agensi bertanggungjawab bagi aspek pembinaan ada jadi kita tidak mahu ada pertelagahan serta salah faham antara agensi membabitkan isu ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Kebangsaan Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 di  Seberang Jaya hari ini.

Tambah Mohammad Hamdan, orang ramai boleh membuat laporan kepada agensi berkaitan serta pihak bomba sekiranya curiga terdapat struktur yang boleh memudaratkan keselamatan.

“Sekiranya ada aduan sedemikian, pihak bomba akan turun ke lokasi bagi membuat pemeriksaan,” katanya.

Mengulas lanjut Mohammad Hamdan turut menasihatkan ibu bapa untuk memantau pergerakan anak mereka selain mendidik anak kecil itu berhubung kawasan berisiko di bangunan tinggi.

“Kita semua sedia maklum ramai ibu bapa yang mempunyai anak kecil tinggal di kawasan kediaman bangunan tinggi jadi mereka perlu mendidik anak masing-masing berkaitan kawasan risiko yang dikenal pasti.

“Sebagai contoh tingkap, pagar, lubuk kawasan penyelenggaraan lif antara kawasan berisiko yang perlu dikenal pasti ibu bapa.

“Ini merupakan satu langkah keselamatan awal yang boleh diambil oleh ibu bapa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak dingini berlaku, jelas Mohammad Hamdan. – MalaysiaGazette