KUALA LUMPUR – Beliau terbuka melakonkan watak ibu atau karakter matang selama ini.
Bagaimanapun Rozita Che Wan baru-baru ini menolak tawaran seumpama itu.
Ia bertitik tolak kepada tawaran sebuah produksi mega drama 40 episod yang menawarkannya watak menjadi ibu kepada aktor Remy Ishak.
Namun tegas Rozita atau Cheta, keputusannya menolak tawaran itu bukan kerana demanding tetapi realistik.
“Saya okey saja watak ibu tapi tidaklah sampai tahap pelakon yang jadi anak itu dewasa sangat. Saya pun selalu dapat watak ibu dan ia bukan isu besar.
“Cuma agak agaklah juga nak gandingkan saya dengan pelakon yang jadi anak itu. Sejujurnya, saya rasa Remy terlalu matang untuk jadi anak saya dalam drama berkenaan. Kalau nak digandingkan pelakon watak ibu dan anak, biarlah logik akal,” katanya.
Sebelum ini, kakak kepada Ayu Raudah itu sudah beberapa kali digandingkan dengan Remy.
Malah kebanyakannya watak sebagai kekasih.
“Antaranya termasuk telefilem berjudul Masihkah Ada Sinar yang turut berentap di Anugerah Skrin 2011. Sebelum itu saya dan Remy pernah beberapa kali berlakon sama,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu baru baru ini ditemui di majlis anjuran syarikat pelaburan, pengurusan dan pembangunan hartanah, HOMEVEST disenaraikan dalam Malaysia Book of Records.
Rekod itu diwarta selepas syarikat berkenaan diiktiraf sebagai syarikat pertama di Malaysia yang menawarkan Program Pemilikan Rumah untuk Pekerja atau Home Ownership Programme for Employees (H.O.P.E).
Namun, Che Ta yang juga pelakon drama Tahyul menerusi watak Detektif Masni menafikan yang dia bergelar duta kepada syarikat berkenaan.
“Tidak sama sekali bergelar duta, tapi saya antara yang turut mendapat nasihat syarikat terbabit dalam soal pemilikan dan pembelian rumah.
“Kebetulan adik ipar saya, Datuk Wira Haji Muhammad Faizal Zainol menjadi penasihat syarikat terbabit, jadi saya banyak mendapatkan nasihat daripada mereka,” katanya.
Che Ta yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan kelapan dengan Zain Saidin pada 11 Disember ini juga mengakui tidak sabar untuk berpindah ke kediaman baru di Petaling Jaya, Damansara.
“Soal pindah rumah baru ini memang tertunda sebab situasi pandemik Covid-19 semasa. Awal dulu pun saya pernah terkena dan rugi jutaan ringgit sebab projek pengubahsuaian rumah gagal disiapkan kontraktor dilantik.
“Tapi sekarang perlahan demi perlahan, saya cuba curi masa mengawasi perkembangan proses ubah suai dan siapkan rumah itu dengan kontraktror lain.
“Adik ipar saya pun yang tahu selok belok hartanah dan perumahan banyak membantu serta beri nasihat,” katanya. – MalaysiaGazette