Home Nasional Kampung Pasir Gudang Baru tercemar, nelayan tidak dapat turun ke laut

Kampung Pasir Gudang Baru tercemar, nelayan tidak dapat turun ke laut

Azrin Amly

PASIR GUDANG – Kira-kira 250 nelayan pesisir pantai di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini, mengalami kesukaran untuk turun ke laut berikutan pencemaran sisa buangan yang tidak diketahui punca.

Difahamkan perusahaan kupang di kawasan itu yang terjejas bakal musnah dengan anggaran kerugian sebanyak RM1 juta.

Para nelayan turut berdepan kesulitan untuk menjual hasil tangkapan sehingga terpaksa membuangnya.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata nelayan yang ditemui mengambil pendekatan untuk tidak turun ke laut berikutan pencemaran yang berlaku itu.

 

Alimman Jamat, 48, yang merupakan seorang nelayan memberitahu, kejadian seumpana itu merupakan pencemaran terburuk yang pernah dialaminya.

Alimman Jamat

Selain pendapatan terjejas, beliau kini rungsing memikirkan kelengkapan yang perlu diganti baru.

“Masalah minyak macam ini daripada situ, kupang-kupang semua habislah.

“Yang saya risau sekarang ini sudah empat hari tidak turun ke laut, jatuh pendapatan kami semua,”katanya ketika ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru.

Seorang lagi nelayan, Azrin Amly, 60, berkata, dia sudah tidak turun ke laut sejak empat hari lalu kerana keadaan tersebut menyukarkan pegerakan dan meninggalkan kesan di permukaan bawah bot mereka.

“Kita tidak dapat turun, sebab satu sisa ini melekat di bot, kita juga tidak tahu kesannya kepada enjin bot nanti,” ujarnya yang telah menjadi nelayan sejak 40 tahun lalu.

Beliau mendakwa, kawasan tersebut dicemari bahan kimia yang terapung di permukaan air dan ia tidak mudah dicuci, malah peralatan yang terkena bahan kimia itu perlu ditukar baharu.

“Kalau kita tangkap, tidak boleh kita jual (kerana) menjejaskan kesihatan orang ramai,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd Azizi Mohmad berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan laporan juga telah disampaikan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Namun katanya, pihaknya masih belum menerima maklum balas mengenai perkara tersebut.

“Kebetulan hari ini saya datang dengan rakan-rakan yang ada dapat membantu dan dapat ketengahkan,” katanya. – MalaysiaGazette