KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Rabu ini.
Ini kerana peguam mewakili Presiden UMNO itu, Hamidi Mohd Noh diserang sakit gout ketika sedang berhujah pagi ini di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Hamidi tidak dapat berdiri dengan lama dan memohon penangguhan walaupun Collin telah memintanya untuk duduk sambil berhujah.
Kata Hamidi, dirinya tidak dapat menyambung hujah selanjutnya kerana dalam kesakitan dan mohon diberikan penangguhan.
Peguam itu juga turut memaklumkan beliau perlu berjumpa dengan doktor dan temu janji pukul 1.30 tengah hari tadi.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Toran bangkit memaklumkan mahkamah pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan untuk penangguhan sehingga Rabu depan.
Ketika awal prosiding hari ini, Hamidi memberitahu mahkamah Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa dalam mengendalikan cek-cek milik Yayasan Akalbudi.
Cek-cek itu yang dikaitkan dengan pertuduhan bukan di bawah penguasaan Ahmad Zahid sebaliknya di bawah penguasaan bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan.
“Mazlina cuai ketika menguruskan cek-cek itu dengan menggunakan cop tanda tangan Ahmad Zahid. Cop tanda tangan tidak sepatutnya digunakan untuk pengeluaran cek tetapi hanya digunakan untuk urusan rasmi,” katanya hari ini.
Kata Hamidi lagi, hakikatnya Ahmad Zahid tidak melakukan sebarang pecah amanah memindahkan dana Yayasan Akalbudi ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co.
Sebaliknya kata Hamidi wang tersebut masih di bawah kawalan yayasan milik Ahmad Zahid.
Hujah pembelaan itu lagi, pendakwaan juga tidak berjaya membuktikan prima facie terhadap 12 pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh sehingga hari ini.
Ketika ini, Ahmad Zahid sedang berdepan dengan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.
Dana-dana itu juga digunakan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.
Prosiding bersambung pukul 9 pagi Rabu depan. – MalaysiaGazette