KOTA ISKANDAR – Beroperasinya Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura bakal menjadi jambatan bagi hubungan antara negeri itu dengan negara jiran berkenaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pejabat JETCO akan dibuka secara fizikal menjelang suku pertama tahun 2022.
Bagaimanapun aktiviti serta libat urus melibatkan pemegang taruh awam mahupun swasta sedang berjalan, katanya.
“Kerajaan negeri percaya keberadaan JETCO di Singapura akan menjadi pemangkin dalam usaha menggiatkan aktiviti ekonomi antara Johor dan Singapura.
“Ia juga bakal menjadi jambatan pengukuh bagi hubungan budaya dan pelancongan yang sudah sedia terjalin,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad (PHr), ADUN Kemelah, Dr. Sulaiman Mohd. Nor (PH) dan ADUN Jementah, Tan Chen Choon (PH) pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-14 di sini hari ini.
Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri juga telah mula merangka Pelan Induk Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di daerah Segamat.
Kertas cadangan kemasukan daerah Segamat ke dalam ECER telah pun dibentangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Oktober lalu.
“Kertas cadangan ini seterusnya akan diangkat untuk pembentangan di Parlimen bagi kelulusan pindaan Rang Undang-undang Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur.
“Antara pelan induk yang telah dirangka termasuk penyelarasan rancangan Perniagaan Tani dan Agropelancongan serta Program Modal Insan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Sudah pasti kerajaan negeri dan ECER akan sentiasa bekerjasama untuk memastikan potensi Segamat akan sentiasa digilap dan disokong, terutama sekali untuk menjadikan daerah tersebut sebagai hab utama Agromakanan Johor,” katanya.-MalaysiaGazette