Home Politik PH perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan di Melaka, bukan Anwar sahaja

PH perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan di Melaka, bukan Anwar sahaja

Jestin Raj Savarimuthu

KUALA LUMPUR – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dipikul oleh semua pihak dalam pakatan tersebut.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Jestin Raj Savarimuthu berkata, selain itu mereka perlu bermuhasabah dan memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas ini.

“Pimpinan dan jentera PH yang bergerak dan bertindak secara kolektif dalam menghadapi PRN Melaka sewajarnya bersama-sama memikul tanggungjawab dan tidak menuding jari sesama sendiri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Bilut, Lee Chin Chen yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan Ketua Pembangkang selepas gabungan pakatan parti politik itu mengalami kekalahan pada PRN Melaka.

Chin Chen berkata, sudah tiba masa pembangkang meneroka hala tuju dan konsensus baru dan sekiranya gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan untuk keluar daripada PH.

Menurut Jestin, adalah sesuatu yang mengecewakan apabila kenyataan sebegini keluar dari mulut seorang pemimpin muda DAP dan ia boleh menggugat muafakat dalam PH.

“Tolonglah bersikap matang, daripada terus tuding menuding kepada satu pihak baik kita cuba bangkit kembali, janganlah bila kita susah atau jatuh, hanya ada satu pihak dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Jestin berkata, kepimpinan PH perlu kembali merangka strategi serta hala tuju baru dalam menghadapi cabaran politik mendatang, khususnya untuk mengembalikan keyakinan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15. – MalaysiaGazette