KUALA LUMPUR – Penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi Husin tidak rela melihat gawang dibolosi terutamanya di laman sendiri apabila menentang pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia, malam ini.
Setakat ini, Suhaimi hanya bolos dua gol dalam tiga perlawanan di laman sendiri untuk saingan TM Piala Malaysia namun keampuhan itu bakal teruji berdepan kualiti jentera serangan yang ada pada JDT.
Mengakui perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ini akan menjadi tumpuan, penjaga gol berusia 27 tahun itu percaya dengan percaturan pengendali, Nafuzi Zain untuk cuba menundukkan anak buah Benjamin Mora seperti mana yang mereka pernah lakukan di saingan Liga Super, April lalu.
“Insya-Allah saya akan cuba sedaya upaya untuk melakukan ‘clean sheet’ malam ini sebab kalau boleh kita mahu elak JDT bawa balik bekalan selesa ke Johor.
“Kita tahu mereka mempunyai ramai pemain berkualiti terutamanya di bahagian serangan dan selain kita mengharapkan barisan pertahanan Terengganu, saya selaku penjaga gol juga perlu main peranan untuk mengawal gawang sebaik mungkin.
“Memang Terengganu pernah tewaskan JDT di stadium mereka, tetapi kali ini pasti lebih berbeza dan saya percaya kami sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan kemenangan berharga kepada penyokong pada malam ini”, katanya.
Suhaimi yang diberi tanggungjawab selaku penjaga gol utama menggantikan Rahadiazli Rahalim selepas berdepan kecederaan ACL pada April lalu tidak menolak musim ini banyak memberi pengalaman berharga kepadanya.
Justeru, pastinya ia akan menjadi pencapaian terbaik untuknya yang sebelum ini beraksi di Terengganu FC II jika mampu bantu pasukan mara ke final TM Piala Malaysia, musim ini.
“Saya juga tidak sangka akan terus diberi peluang selaku penjaga gol utama sepanjang musim ini dan berbangga dapat bantu pasukan sehingga ke tahap ini.
“Dapat mara ke separuh akhir ini pun saya rasa puas, dan jika kami dapat ke final, semestinya ia satu pengalaman berharga dan akan jadi pencapaian terbaik untuk saya sendiri.
“Apa-apa pun, kami fokus satu persatu terlebih dahulu dan berharap malam ini akan menjadi malam yang menggembirakan untuk pasukan dan juga penyokong”, jelasnya.
Dua perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia akan berlangsung malam ini membabitkan aksi antara Terengganu dan JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin manakala Kuala Lumpur City FC akan menentang Melaka United FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette