ISU pinjaman pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan dengan menjadikan ia sebagai sebahagian daripada kempen- kempen politik kerana ia melibatkan masa depan diri peminjam itu sendiri serta bakal- bakal peminjam yang lain. Isu pinjaman pendidikan sentiasa mendapat tempat dalam negara kita berbanding dengan jenis- jenis pinjaman lain seperti pinjaman perumahan, pinjaman perniagaan, kenderaan, peribadi atau dan lain-lain lagi kerana ramai di antara rakyat kita khususnya generasi muda yang mempunyai pinjaman pendidikan bagi membantu proses pembelajaran mereka ke peringkat pengajian tinggi.
Apa yang menyedihkan ialah tiap kali adanya proses pilihan raya, isu pinjaman pendidikan ini mendapat tempat dalam kalangan ahli politik kita. Pelbagai jenis janji-janji manis dilemparkan oleh ahli politik kepada para peminjam termasuklah potongan hebat jumlah pinjaman yang peminjam ada sehingga pemansuhan terus segala hutang pinjaman yang peminjam ada. Akibat daripada janji-janji manis ini, para peminjam mengambil isu pinjaman pendidikan mereka dengan mudah dan ada yang mengambil peluang untuk tidak membayar terus segala pinjaman pendidikan mereka kerana menunggu segala janji-janji manis dipenuhi oleh kalangan ahli politik yang suka membuat janji- janji manis yang belum tentu dapat dipenuhi.
Isu yang membabitkan pinjaman pendidikan sentiasa menjadi isu hangat kerana terdapat ramai peminjam golongan muda ini yang didapati liat, lewat dan gagal untuk melunaskan pinjaman pendidikan masing-masing mengikut tempoh yang telah ditetapkan selepas tamatnya proses pengajian mereka. Pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak peminjam yang belum lagi melunaskan hutang pinjaman pendidikan mereka. Antara alasan yang paling popular ialah belum mendapat pekerjaan lagi, jumlah pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi untuk membayar hutang, kos sara hidup masa kini yang meningkat
dan pelbagai lagi.
Terdapat pelbagai jenis pinjaman pendidikan yang wujud dalam negara kita seperti pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pinjaman dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA), pinjaman daripada yayasan- yayasan negeri, pinjaman daripada kerajaan- kerajaan negeri, pinjaman daripada institusi atau organisasi tertentu serta pinjaman persendirian daripada individu. Namun antara jenis pinjaman pendidikan yang paling popular adalah PTPTN yang mana lebih 2.8 juta rakyat Malaysia yang telah mendapat manfaat dan bantuan menerusi penubuhan PTPTN sejak 20 tahun yang lalu sehingga kini.
PTPTN adalah satu daripada inisiatif Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh bekas perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak melalui dasar pendemokrasian proses pendidikan negara. Pinjaman pendidikan PTPTN membuka seluas-luasnya peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sama ada ke universiti awam, politeknik dan institusi pendidikan swasta (IPTS).
Walau apa pun, isu yang membabitkan pinjaman pendidikan tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan atau kempen politik oleh mana-mana pihak dalam negara kita kerana pihak yang terlibat dengan pemberian pinjaman berkenaan telah bertungkus-lumus memastikan para peminjam dapat melunaskan kembali segala pinjaman yang telah mereka buat dengan cara yang penuh tertib, hikmah serta mengikut budi bicara semua pihak yang terlibat.
Sudah terdapat pelbagai konsesi serta proses pemudahcara bagi proses melunaskan kembali segala bentuk pinjaman pendidikan yang dibuat yang telah dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada para peminjam untuk melunaskan kembali pinjaman pendidikan mereka. Seperti yang dinyatakan, kebanyakan mereka yang meminjam untuk pinjaman pendidikan adalah terdiri daripada generasi muda yang bakal menempuhi alam pekerjaan dan
rumahtangga. Sekiranya terlalu banyak janji manis politik yang diberikan khusus mengenai perkara ini seolah-olah ia memberi satu isyarat kepada para peminjam bahawasanya tidak salah bagi mereka untuk terus berlengah- lengah, menangguhkan serta untuk tidak terus membayar balik segala pinjaman pendidikan yang telah mereka buat.
Akhirnya ia akan mengakibatkan mereka menjadi individu yang tidak bertanggungjawab serta individu sambil lewa terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan di masa hadapan kelak. Tidak salah sekiranya kita lantang bersuara untuk membantu para peminjam pendidikan melunaskan segala hutang mereka dengan memudahkan proses pembayaran balik pinjaman. Namun satu perkara pokok yang paling penting dalam perkara ini ialah setiap daripada peminjam perlu diberitahu dengan tegas bahawa setiap hutang yang dibuat perlu dibayar balik mengikut perjanjian yang telah dibuat serta tanpa berlengah- lengah.
Ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, orang muda khususnya harus di didik dari awal supaya mereka lebih berdisiplin untuk melunaskan segala tanggungjawab mereka. Sekiranya para peminjam ini dilatih dari peringkat awal untuk lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam aspek pengurusan kewangan dan hutang, sudah pasti mereka dapat menempuhi segala dugaan dan cabaran yang bakal datang di dalam kehidupan mereka kelak. Setiap ahli politik pula perlu mempunyai rasa tanggungjawab dalam menjalankan kempen politik mereka. Jangan kerana hendak menang dalam dunia politik mereka, masa depan anak-anak muda kita terjejas.
Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)